KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu Batu Puteh dengan mendakwa negara sudah kehilangan pulau itu sebelum Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Malah, Abdul Hadi turut merujuk surat kenyataan rasmi bertarikh 21 September 1953 kepada Setiausaha Kolonial di Singapura berkenaan penyerahan terumbu Batu Puteh kepada Singapura oleh pihak tertentu yang disifatkan beliau ‘pendek akalnya’.
Namun, kata beliau, kini tindakan bodoh itu ditutup oleh para pembohong dan penipu dengan cara yang terbuka seperti menudung bangkai dengan tapak tangan yang kecil bagi menyalahkan Dr. Mahathir yang tidak ada kaitan menyerahnya kepada penjajah.
“Parlimen diperkudakan menjadi penipu secara lakonan dengan memaksa Tun Dr. Mahathir menjadi hero yang dituduh, sedangkan hero sebenar yang menipu berlindung di belakang pentas Parlimen,” kata beliau menerusi Minda Presiden Pas yang turut disiarkan menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, apa yang menarik adalah pelakon tambahan di sebalik isu Batu Puteh itu adalah dalam kalangan orang Melayu di dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri.
“Adapun DAP yang terkenal lantang bersuara tidak perlu bersuara kerana ada khadamnya.
“Nampak tidak setianya kepada negara dan lebih rela kepada negara asing.
“Tidak mengenang budi diberi kerakyatan walau sifatnya pendatang yang dibawa masuk oleh penjajah,” katanya.
Isu kehilangan Pulau Batu Puteh kini menjadi perdebatan hangat selepas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dalam laporan diedarkan kepada Ahli Parlimen pada 5 Disember lalu, mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr. Mahathir.
Suruhanjaya itu berpendapat, Dr. Mahathir berkemungkinan dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri ketika itu untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas, permohonan itu mempunyai kebarangkalian untuk berjaya.
Bagaimanapun, Dr. Mahathir mempertahankan tindakan itu sebagai keputusan bersama atau secara kolektif kesemua anggota Kabinet ketika itu, bukannya keputusan beliau bersendirian. – MalaysiaGazette