Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Malaysia (KBS), Adam Adli Abdul Halim (empat dari kanan) meninjau benteng pemecah ombak yang siap dibina di sekitar Kompleks Rakan Muda Rompin, di sini

ROMPIN – Benteng pemecah ombak bernilai RM8 juta sepanjang 500 meter siap dibina di sekitar Kompleks Rakan Muda Rompin, di sini, bagi memastikan keselamatan pengunjung selain mengelakkan fasiliti tersebut terjejas akibat hakisan pantai.

Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Malaysia (KBS), Adam Adli Abdul Halim berkata, hampir keseluruhan fasiliti itu telah dinaiktaraf untuk keselesaan pengguna, terutama golongan belia di daerah ini.

Beliau berkata, kompleks sukan terbabit merupakan antara empat projek penaiktarafan dan bina baru kompleks serta fasiliti sukan sedia ada di negeri ini yang menjadi tumpuan KBS.

“Kita dah boleh mula buka kemudahan ini dalam masa terdekat, mungkin suku kedua tahun hadapan. Dan kita akan umumkan jika nak benarkan penggunaan fasiliti secara percuma sepanjang tempoh percubaan nanti.

“Namun, kita harap supaya kompleks ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya, bukan sahaja buat anak muda tempatan, tapi yang berkunjung ke Pahang, terutamanya di Rompin. Kita tahu di sini ada tarikannya,”katanya.

Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Malaysia (KBS), Adam Adli Abdul Halim

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Siap Kerja Bagi Kerja-Kerja Naiktaraf Kompleks Rakan Muda Rompin Dan Pembinaan Benteng Pemecah Ombak, di Kompleks Rakan Muda Rompin, di sini, hari ini.

Katanya, selain Kompleks Rakan Muda Rompin, KBS juga dalam proses menaiktaraf dan bina baru Kompleks Sukan Kuantan bernilai RM25 juta yang dijangka siap pada Mei 2025.

“Kita juga ada projek penaiktarafan Stadium Hoki di Indera Mahkota dengan nilai RM3.5 juta yang masih dalam proses pembinaan dan naiktaraf rumput di Stadium Darul Makmur dengan kos RM500,000 seperti yang diumumkan menteri sebelum ini,” tambah Adam Adli.

Selain itu, katanya KBS juga memantau fasiliti sukan kecil yang lain di setiap daerah bagi memastikan terdapat keperluan untuk dinaik taraf.

Bagi kerja naik taraf di Komleks Rakan Muda Rompin ini, antaranya pembinaan sebuah bilik mesyuarat berkapasiti 60 orang dan bilik kuliah, gelanggang futsal kepada gelanggang berbumbung, membaik pulih kerosakan dewan utama, kolam skuba, elektrikal dan mekanikal, asrama serta stor utama dan dermaga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here