KUALA LUMPUR – Bahaya kepada pemilik motosikal yang mengabaikan kunci tengkuk kenderaan masing-masing.
Ini kerana ada sesetengah pihak yang modus operandinya menyasarkan motosikal berkenaan dan salah satunya berjaya ditumpaskan polis baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya telah menahan dua lelaki berusia 21 tahun dan 23 tahun itu di Lurah Bilut, Bentong, Pahang pada 13 Disember lalu kira-kira pukul 11.30 malam yang disyaki terlibat mencuri motosikal.
“Kegiatan mereka adalah mencari motosikal yang tidak berkunci handle di sekitar daerah ini dan kemudian menundanya ke rumah suspek di Jalan Masjid Lama, Kampung Labohan Dagang, Banting sebelum menukar kunci motorsikal baharu.
“Susulan satu laporan polis kehilangan motosikal di Kota Warisan, kedua-dua suspek akhirnya ditahan hasil kerjasama sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang bersama anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Lurah Bilut menerusi Op Lejang.
“Kita juga merampas tiga motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan sebuah motosikal EX5 serta dua rangkai kunci motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhizam berkata, semakan rekod mendapati, seorang suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala seorang lagi memiliki tiga rekod jenayah membabitkan dadah.
“Hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek negatif dadah dan siasatan awal mendapati mereka mengaku terlibat dalam kejadian curi motosikal kerana mahu mendapatkan wang bagi kegunaan perbelanjaan harian dan membeli dadah.
“Berikutan itu, mereka ditahan reman selama tiga hari bermula 14 Disember hingga hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi balai polis berdekatan atau talian hotline IPD Sepang, 03-877 74222. – MalaysiaGazette