KUALA LUMPUR – Kenderaan Elektrik (EV) Nasional Pertama, Proton Emas-7 yang dilancarkan pada hari ini bakal menjadi kereta rasmi sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di negara ini, tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mahu menjadikan EMas-7 sebagai contoh di rantau Asia dalam penghasilan dan pembangunan EV, selaras komitmen negara kepada pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Untuk ASEAN tahun depan, EMas-7 adalah kenderaan rasmi kita. Kita nak tetapkan contoh di rantau ini, untuk mempromosikan keupayaan kita untuk menghasilkan kereta dan juga pembangunan EV.
“Ia bertepatan dengan komitmen negara kepada pelepasan karbon sifar bersih,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Kereta Elektrik Nasional Pertama EMas-7, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Perdana Menteri juga melahirkan rasa gembira apabila EMas-7 dihasilkan di Tanjung Malim, Perak, sekaligus menaikkan semangat vendor Malaysia melalui pemindahan teknologi baharu dan kemahiran berkaitan dengan EV.
“Sebagai pengeluar kenderaan nasional, Proton harus memanfaatkan peranan dalam industri automotif dan projek EV ini.
“Dasar Automotif Negara 2020 seharusnya menjadi rujukan bahawa Proton mengeluarkan model ini nanti di negara ini.
“Adalah menjadi tanggungjawab empat syarikat yang mengendalikan industri automotif bukan sekadar menjual kenderaan bahkan menyediakan peluang pelaburan dan pekerjaan menerusi system yang holistik,” katanya. – MalaysiaGazette