Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, (tengah) bercakap kepada media ketika hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MRL dan UCYP , di Kuala Lumpur, hari ini

KUALA LUMPUR – Semua graduan Akademi Rel Pahang di University College of Yayasan Pahang (UCYP) dijamin peluang pekerjaan selepas tamat latihan, selaras dengan pembukaan operasi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata akademi tersebut memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi standard antarabangsa serta keperluan operasi ECRL, yang dijangka bermula pada tahun 2027. 

“Kerjasama antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan UCYP adalah langkah strategik dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menyokong pembangunan industri rel di negeri Pahang, khususnya melalui penubuhan Akademi Rel Pahang. 

“Dalam Belanjawan Negeri Pahang 2025, yang dibentangkan pada 29 November lalu, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi menyokong pembangunan akademi ini sebagai salah satu projek strategik negeri,”.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MRL dan UCYP di sini, hari ini.

Tambah beliau, Akademi Rel Pahang, yang ditubuhkan hasil kerjasama strategik dengan organisasi berkaitan, merupakan akademi rel pertama di Malaysia yang menawarkan latihan khusus bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam industri rel. 

Katanya lagi, proses pengambilan pelajar dijangka bermula pada suku pertama tahun 2025, dengan sasaran kira-kira 200 pelajar bagi setiap pengambilan dengan memberi keutamaan kepada golongan muda.

Langkah ini bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda tempatan agar dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri, sekaligus memastikan kesinambungan tenaga kerja mahir dalam industri rel yang kian berkembang.

“Kerjasama erat antara pihak industri dan institusi akademik seperti ini amat diperlukan bagi memastikan negeri Pahang mampu melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing. 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Pahang akan terus menyokong usaha-usaha seumpama ini bagi memastikan pembangunan ekonomi negeri bergerak seiring dengan peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada rakyat.,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here