KUALA LUMPUR – Sebarang langkah yang mengganggu-gugat kestabilan politik dan pentadbiran kerajaan negeri Selangor harus dihentikan.
Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor menerusi kenyataan menegaskan bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat selama lima tahun perlu dijadikan amanah dan kepercayaan yang perlu digalas.
PH negeri itu berpendirian kepentingan negeri dan rakyat perlu menjadi keutamaan dalam sebarang tindakan diambil, bukannya untuk peribadi atau kelompok tertentu sahaja.
“Negeri Selangor dikenali sebagai negeri yang maju dan menjadi penyumbang terbesar KDNK kepada Malaysia. Kemajuan negeri Selangor ini adalah hasil dari kestabilan politik di negeri Selangor dan Kepercayaan rakyat untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan PH dan perpaduan ketika pilihanraya negeri Yang lepas,” kata kenyataan bersama Ketua Penerangan PH Selangor, Abbas Azmi dan dua penolongnya iaitu Halimey Abu Bakar dan Wong Siew Ki.
Menurut kenyataan itu, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kekal dengan jawatannya sehingga habis penggal jelas membuktikan kepentingan kestabilan politik di negeri tersebut.
Tambahnya, dalam masa yang sama Amirudin membuktikan pentadbiran di bawahnya sangat dekat dengan rakyat melalui pelbagai inisiatif.
“Pelbagai inisiatif seperti Program Iltizam Selangor Penyayang menjadikan pentadbiran Negeri sangat dekat dengan rakyat. Rancangan Selangor (RS 1) adalah bukti kesungguhan pentadbiran yang diketuai Amiruddin shari untuk membawa negeri Selangor ke satu tahap yang lebih baik. Ia sangat bergantung kepada kestabilan politik untuk dijayakan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, jawatan Menteri Besar Selangor hangat diperkatakan susulan akaun audio siar Keluar Sekejap di platform X menulis Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bakal menggantikan Amirudin sebagai menteri besar.
Terdapat dakwaan mengatakan Amirudin dijangka bakal dilantik sebagai menteri di Persekutuan.
Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengesahkan terdapat perbincangan awal mengenai penyertaan Zafrul ke dalam parti itu.
Walaubagaimanapun, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan tidak menerima pemakluman daripada Zafrul untuk keluar daripada parti itu demi menyertai PKR.
Sebagai rekod, Zafrul menjadi ahli UMNO sejak 1997 dan menyertai majlis kerja tertinggi pada Mac lalu dalam pemilihan parti penggal 2023-2026.
Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu semalam menegaskan belum membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti.-MalaysiaGazette