Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan anggota Kabinet yang berdiam diri ketika beliau membuat keputusan berkenaan isu Pulau Batu Puteh sewaktu menjadi Perdana Menteri pada 2018 membawa maksud mereka turut bersetuju dengan keputusan itu.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir melahirkan rasa hairan apabila terdapat anggota Kabinet ketika itu kini memberi alasan mereka tidak memberi pendapat atau pandangan mengenai isu Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kerana beliau hanya memaklumkan mengenai perkara tersebut semasa mesyuarat Kabinet.

Malah Dr. Mahathir turut mempersoalkan sama ada beliau perlu memberitahu anggota Kabinet supaya memberi pendapat atau pandangan sebelum mereka berbuat demikian.

“Keduanya, jïka pandangan saya terhadap isu tersebut salah atau tidak mereka persetujui, mereka tidak akan bangkang atau beri pendapat kerana saya hanya maklum?

“Jadinya, maklum itu adalah halangan kepada sebarang perdebatan, pemberian pendapat mahupun menyatakan persetujuan atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi peguam beliau, Rafique Rashid seperti yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, anggota Kabinet sepatutnya tahu sebarang perkara yang dibangkit, dimaklum dan ditimbulkan ketika mesyuarat Kabinet adalah memerlukan setiap anggota untuk memberi perhatian.

Tegas beliau, sekiranya terdapat pandangan yang perlu untuk anggota Kabinet utarakan, maka mereka seharusnya melakukan semasa mesyuarat tersebut.

“Jika mereka memilih berdiam diri atau tidak menyatakan rasa tidak bersetuju maka ianya diterima sebagai mereka bersetuju dengan apa yang dimaklum atau dibentang,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Dr. Mahathir, tidak timbul isu sama ada beliau menerima tanggungjawab ke atas perkara tersebut sebagai ketua kerajaan ketika itu meksipun anggota Kabinet berkenaan mahu beliau bertanggungjawab.

Ini kerana, kata beliau, persoalan sebenar adalah sama ada anggota Kabinet berkenaan mahu memikul tanggungjawab sebagai satu collective responsibility apabila menganggotai Kabinet.

“Jika tidak maka mereka telah tidak melaksanakan amanah yang diberikan kepada mereka semata-mata kerana mereka tidak mahu beri pendapat kepada apa yang dimaklumkan kepada mereka di dalam mesyuarat Kabinet.

“Seingat saya, di dalam mesyuarat Kabinet tersebut, diminitkan bahawa kesemua anggota termasuk yang bertiga itu, mereka semua bersetuju dengan pandangan/makluman saya yang memperincikan pandangan saya terhadap isu itu.

“Amat menghairankan apabila selama ini semenjak 2018 mereka semua tidak berkata apa-apa tetapi sebaik sahaja saya maklum perkara sebenar, kesemua mereka mengelak dan mengalih dari ambil tanggungjawab,” katanya.

Sebelum ini, tiga pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) menegaskan Dr. Mahathir membuat keputusan sendiri berhubung pengguguran rayuan bagi tuntutan Batu Puteh pada 2018.

Dalam kenyataan bersama, Datuk Seri Dr Wan Azizah, Mohamad Sabu dan Anthony Loke memaklumkan Dr. Mahathir hanya memaklumkan kepada Kabinet selepas keputusan itu dibuat.

Ketiga-tiga mereka adalah anggota Kabinet PH ketika itu yang mana Wan Azizah adalah Timbalan Perdana Menteri; Mohamad selaku Menteri Pertahanan dan Anthony Loke menerajui Kementerian Pengangkutan.

Kenyataan bersama itu bagi menjawab kenyataan Dr. Mahathir sebelum itu yang mana keputusan menggugurkan rayuan bagi tuntutan Batu Puteh pada 2018 dibuat secara bersama oleh Kabinet ketika itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast