Mohd Na'im (empat dari kiri) membatu membersihkan maafad tahfiz yang kotor akibat banjir, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Jelajah Peduli Ummah Sejahtera Insan Al Falah anjuran Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini meneruskan usaha menyantuni Maahad Tarbiah Islamiah Derang, di Pokok Sena, Kedah.

Ia merupakan salah sebuah institusi pendidikan yang terjejas teruk akibat banjir besar di kawasan berkenaan, baru-baru ini.

Paras banjir yang dilaporkan mencapai tahap sehingga ke bumbung telah menyebabkan kerosakan besar terhadap bangunan maahad dan kawasan sekitarnya hingga memberi kesan amat mendalam kepada pihak pengurusan dan pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif (MAPIM), Datuk Sani Araby berkata, Jelajah Peduli Ummah Sejahtera Insan Al Falah itu bukan sahaja bertujuan untuk meringankan beban mangsa banjir, tetapi juga untuk menguatkan ikatan perpaduan dan kasih sayang sesama insan.

Malah beliau mengharapkan agar segala usaha dilakukan dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat setempat.

“Kami bersyukur kerana dapat turun padang bersama-sama rakan strategik dan masyarakat setempat dalam usaha pembersihan pasca banjir ini.

“Keprihatinan dan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak menunjukkan bahawa kasih sayang sesama umat Islam adalah satu nilai yang amat penting dalam menghadapi ujian sebegini.

“Kami berharap agar usaha ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas dan membantu memulihkan semangat penduduk Derang untuk terus bangkit dan melangkah ke hadapan.” katanya dalam kenyataan.

Sani berkata, Jelajah Peduli Ummah itu dijalankan bersama rakan strategiknya Zus Coffee dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) serta mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia.

Jelasnya, aktiviti pembersihan pasca banjir di Maahad Tarbiah Islamiah Derang telah dilaksanakan dengan penuh semangat, berkampung bersama-sama di Derang bagi menyantuni mangsa banjir yang terjejas

Katanya, pelbagai aktiviti dilakukan untuk membantu meringankan beban penduduk dengan antara aktiviti utama adalah gotong-royong pembersihan surau maahad yang masih berlumpur.

Kerja-kerja pembersihan itu kata beliau, dilakukan bersama ketua agensi di bawah JPM (HEA), NGO tempatan dan penduduk setempat.

Selain itu beliau berkata, satu sesi santunan juga diadakan dengan para guru maahad yang rumah mereka turut dilanda banjir. Bantuan kemanusiaan disampaikan kepada penduduk di mukim Derang yang terjejas, bagi meringankan beban mereka.

“MAPIM Mobile Kitchen turut memainkan peranan penting dengan menyediakan makanan panas kepada petugas dan penduduk sekitar yang memerlukan.

“Saringan perubatan percuma oleh MAIWP MAPIM Double Decker Mobile Clinic juga diadakan, di mana lebih 80 orang penduduk menerima rawatan.

“Selain itu, semua pihak turut bersama-sama membersihkan kawasan Maahad yang terjejas oleh banjir, dengan penuh keikhlasan dan semangat kebersamaan,” tambahnya.

Hadir sama pada sesi lawatan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan ketua serta wakil dari 14 agensi di bawah kementerian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here