KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sudah memulakan siasatan ke atas anggota polis yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang wanita dalam satu protes di ibu negara, pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya belum lagi menerima laporan kejadian itu dan wanita terbabit diminta tampil untuk melakukannya bagi memudahkan siasatan dijalankan.
“Jika ada mangsa lain yang mengalami insiden sama turut diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan. Ya, JIPS sendiri telah memulakan siasatan kes ini,”m katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Razarudin, pihaknya memberi jaminan kepada orang ramai bahawa siasatan dijalankan dengan teliti dan telus berhubung insiden itu.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti anggota terbabit yang kini bertugas di ibu negara.
Katanya, siasatan telah dimulakan walaupun polis tidak menerima laporan berhubung perkara itu.
Terdahulu, tular perkongsian di media sosial seorang anggota polis membuat isyarat lucah kepada seorang wanita ketika menyertai satu protes di ibu negara.
Dalam hantaran wanita itu di akaun media sosialnya, memaparkan anggota terbabit membuat beberapa isyarat lucah hasil daripada tangkapan lensa kameranya. – MalaysiaGazette
Anggota polis tunjuk isyarat lucah pada wanita, siasatan dalaman telah dibuka