KUALA LUMPUR – Pelakon, Rozita Che Wan berjanji akan memberikan kenyataan apabila tiba masa sesuai berhubung hutang hampir RM1 juta dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Rozita atau mesra disapa Che Ta, 51, mendakwa ia kerana terdapat beberapa perkara dilapor media berhubung kontroversi tersebut tidak tepat dan perlu dijelaskan sendiri.
“Kenyataan yang tipu itu saya marah. Kalau mahu sebar aib tidak apa, cuma jangan tabur fitnah sahaja. Ada yang betul, ada yang tidak. Saya tunggu masa sesuai untuk bersuara. Tunggulah kenyataan saya.
“Anda semua belum dengar cerita dari mulut saya lagi. Saya belum keluarkan lagi kenyataan. Tidak apa, sabar. Biar orang buat pahala untuk kita dulu,” katanya menerusi siaran langsung dalam TikTok semalam.
Mengulas lanjut, Che Ta turut menafikan kediamannya di Kota Damansara disita seperti dilaporkan.
Malah isteri kepada pelakon Zain Saidin itu kekal positif diberi ujian selain menegaskan dia berada dalam keadaan baik.
“Sekarang tinggal dekat rumahlah, dekat mana lagi? Takkan atas pokok pula. Semua komen tidak betul, rumah saya tak kena sita pun. Kalau rumah kena sita, saya tidak tidur di rumah, tidur atas pokok.
“Sebab itu, semua berita yang keluar dekat media tak boleh percaya pun. Jangan risau, saya okey sahaja.
“Dalam dunia ini, bukan saya sahaja yang Allah uji, betul tak? Saya fikir kalau kita kuat iman, tidak kisahlah dugaan atau cabaran apa yang datang, saya rasa kita boleh sahaja harungi,” ujarnya.
Pada perkongsian sama, Che Ta turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengikut yang mendoakannya selain terus memberikan kata-kata semangat.
“Terima kasih kepada semua yang titipkan doa baik-baik untuk saya. Semoga Allah kembalikan yang baik kepada anda semua. Apabila kita doa untuk orang, Allah akan angkat doa kita dulu.
“Walaupun anda tidak kenal saya secara dekat, tetapi anda sentiasa mendoakan saya,” katanya.
Selasa lalu, kediaman usahawan terbabit dilaporkan diserbu pegawai Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Difahamkan, Che Ta membuat pinjaman dengan agensi berkenaan pada 2017 namun didakwa tidak pernah membayar pembiayaan berkenaan.
Semalam, Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy agar hadir di pejabat majlis itu untuk membincangkan mengenai pembayaran hutang hampir RM1 juta.
Beliau berkata setakat ini Che Ta atau peguamnya tidak hadir ke pejabat Mara bagi membincangkan berhubung hutang itu. – MalaysiaGazette