PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup barangan kontraban seperti tembakau, beras dan bijirin dari Asia Selatan bernilai RM3.49 juta pada bulan lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, tindakan dilakukan oleh pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit 1 (WPKL) pada jam 5.15 petabf 29 November lalu hasil maklumat awam.
Susulan itu katanya, tiga kontena bersaiz 20 kaki telah ditahan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, dan pemeriksaan rapi dilakukan di Kompleks Kastam Unit1 WPKL.
“Hasil pemeriksaan, produk tembakau seperti tembakau kunyah dan serbuk tembakau tidak bercukai ditemui dengan kuantiti sebanyak 7,303 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM3,125,200 termasuk jumlah cukai dan duti.
“Selain itu, turut menemukan sejumlah beras basmathi dan bijirin seberat 7,580 kg yang diletakkan bersama produk tembakau yang ditemui dengan nilai dagangan bagi barangan itu termasuk jumlah cukai dan duti adalah RM368,382,” katanya dalam sidang media khas, di sini, hari ini.
Tambah beliau, modus operandi sindiket itu adalah mengikrarkan barangan tersebut sebagai minuman dan makanan pelbagai jenis yang merupakan dagangan tidak memerlukan permit import.
“Susulan daripada penahanan tiga kontena ini, kita telah memanggil tiga wakil ejen penghantar bagi membantu siasatan lanjut dan kes sedang disiasat.
“Kes terbabit disiasat dibawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1957 iaitu menyimpan atau memiliki apa-apa barang tak berkastam atau larangan import,” jelasnya.
Dalam kes berlainan, Norlela berkata, pihaknya telah merampas satu bungkusan dari luar negara mengandungi pil dadah jenis ecstacy (MDMA) dengan berat kasar sebanyak 0.43kg dengan anggaran bernilai RM71,810.
Kataya, rampasan dilakukan hasil maklumat pegawai dari Pusat Mel dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 1 tengah hari 29 Julai lalu.
“Bungkusan tersebut berasal dari negara Eropah dan butiran penerima adalah di sebuah alamat palsu di Petaling Jaya, Selangor.
“Modus operandi ini adalah membahagi bungkusan besar kepada bungkusan kecil dan dihantar melalui kurier secara terus kepada penerima dengan anggaran berat bungkusan sebanyak 0.3 hingga 0.5 kilogram setiap satu.
“Oleh itu, kita akan membuat pemeriksaan berkala bersama anjing pengesan di tempat-tempat kurier sekitar Lembah Klang yang dipercayai kawasan pengedaran bagi membanteras kes ini secara terus,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette