Abdul Halim menyaksikan penyerahan beras selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Beras Bangsa Johor di PPR Setia Indah, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman kesal apabila 60 keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Pandan, di sini, tidak mendapat Bantuan Wang Ehsan akibat banjir.

Beliau berkata, perkara berkenaan tidak wajar berlaku hanya kerana PPS tersebut tidak diiktiraf Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Perkara ini tidak wajar kerana PPS ini pernah beroperasi sebelum ini dengan menempatkan mangsa banjir dari kawasan berhampiran termasuk Kampung Baru Cina Pandan dan Kampung Seri Purnama.

“Kita tidak mahu nanti ada percanggahan pendapat atau menimbulkan tidak puas hati terhadap pemimpin masyarakat (kerana keluarga mangsa banjir di PPS itu tidak dapat bantuan tersebut).

“Sedangkan segala-galanya sudah kita laksanakan mengikut kehendak dan keperluan seperti yang diminta pejabat daerah mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya berharap perkara ini diambil perhatian,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Beras Bangsa Johor di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Setia Indah, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Rohsawal Nizam Abd Ghafar.

Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, pihaknya berharap perkara berkenaan akan diperhalusi dan tidak berulang pada masa depan.

“Saya berharap perkara ini tidak akan berlaku lagi, setiap mangsa yang didaftarkan seharusnya diberikan bantuan,” katanya.

Katanya, bagi keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di PPS lain di kawasan Tebrau tiada masalah dan akan menerima bantuan itun pada Rabu ini.

Sementara itu, Rohsawal berkata, sumbangan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima dalam menyediakan keperluan makanan.

“Selain PPR Setia Indah, kami juga akan mengagihkan beras secara berperingkat di PPR Pelangi Indah dan Desa Mutiara dan keseluruhannya 750 paket beras akan diagihkan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here