KUALA LUMPUR – Kadar bayaran haji untuk seorang bakal haji muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM15,000 bagi kumpulan B40 manakala bagi kumpulan M40 adalah RM23,500 dan bayaran penuh sebanyak RM33,300 bagi kumpulan T20.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata, kadar bayaran haji bagi kumpulan B40 dan M40 mengalami kenaikan sebanyak 20 peratus susulan peningkatan penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci pada musim haji.
Namun menurut beliau, TH telah dapat mengekang peningkatan kos bagi musim haji tahun depan di mana kos haji masih kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah muassasah.
“Bagi mengawal kos haji, TH telah berusaha untuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak yang meningkat.
“Harga penginapan di Tanah Suci juga telah meningkat dengan mendadak akibat daripada pembangunan pesat di Mekah dan Madinah.
“Namun TH telah berjaya mengikat perjanjian dengan pengusaha hotel untuk beberapa tahun akan datang bagi memastikan keterjaminan harga penginapan terkawal.
“Kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci merangkumi 87 peratus dari kos keseluruhan dan adalah di luar kawalan TH,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Hamadah menjelaskan, bakal jemaah haji muassasah kumpulan B40 yang mendapat bantuan kerajaan bagi B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) daripada TH sebanyak RM17,300 seorang dan ditambah bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 seorang.
Kata beliau, bantuan yang berjumlah RM18,300 ini adalah lebih separuh iaitu 55 peratus daripada keseluruhan kos haji, menjadikan bayaran haji bagi seorang jemaah B40 berjumlah RM15,000.
“Bakal haji Muassasah kumpulan M40 pula akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada keseluruhan kos haji di mana bayaran haji bagi seorang jemaah M40 ialah RM23,500.
“Jemaah muassasah kumpulan T20 yang berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan, perlu menjelaskan bayaran penuh kos haji iaitu RM33,300 seorang.
“Ini adalah selari dengan prinsip penyasaran bantuan yang sedang dilakukan oleh kerajaan.
“Bagi bakal haji yang membuat rayuan luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah, mereka yang terpilih melalui proses rayuan perlu membayar penuh kos haji selaras dengan syarat istito’ah,” katanya. – MalaysiaGazette