PENGERUSI MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika menerima kunjungan wakil PERKOBF di pejabat MARA di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan pembiayaan segera bagi projek kerajaan dan swasta sehingga RM1 juta bagi menyokong kontraktor bumiputera melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPIKE).

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, proses kelulusan pula dibuat dalam tempoh pantas iaitu selama dua minggu dari tarikh penghantaran dokumen lengkap.

“SPIKE membantu kontraktor menampung kos awal projek seperti bahan dan peralatan demi memastikan kelancaran pelaksanaan projek tanpa kekangan kewangan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF) di pejabat beliau di sini.

Menurutnya, pertemuan itu bertujuan membincangkan beberapa cadangan penambahbaikan untuk memudahkan para kontraktor menerima kemudahan yang disediakan oleh MARA.

Selain itu, ujar beliau, PERKOBF juga menyatakan komitmen untuk menjadi mata dan telinga bagi pihak MARA dalam memaklumkan isu-isu yang dihadapi para kontraktor di lapangan, terutama berkaitan kebajikan dan sokongan terhadap usahawan kontraktor Bumiputera.

“Terima kasih kepada PERKOBF atas kerjasama dan komitmen yang tinggi.

“Bersama kita bangunkan ekosistem keusahawanan yang lebih kukuh untuk masa depan bumiputera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here