KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi melindungi pekerja dalam industri penerbangan.
Langkah itu adalah untuk melindungi pekerja daripada majikan yang gagal membayar caruman PERKESO serta memadankan mereka dengan peluang pekerjaan.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha pihak pengawal selia industri penerbangan untuk memastikan majikan mematuhi undang-undang dengan membuat caruman PERKESO bagi melindungi kebajikan pekerja.
Di bawah kerjasama itu kata beliau, MAVCOM akan bertukar maklumat dan berkongsi data mengenai pematuhan syarikat penerbangan terhadap undang-undang pendaftaran dengan PERKESO dan membuat caruman kepada pekerja mereka.
“Sehubungan dengan kerjasama ini, prosedur penguatkuasaan mungkin dapat dipercepatkan, membolehkan MAVCOM menjalankan siasatan segera dan menangani sebarang ketidakpatuhan di kalangan pemegang lesen dan permit kami,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, MoU atau kerjasama berkenaan mempunyai dua objektif utama iaitu memastikan pematuhan syarikat penerbangan terhadap undang-undang berkaitan caruman PERKESO dan bekerjasama dalam penempatan pekerjaan serta peluang pekerjaan dalam industri penerbangan.
“Jadi, melalui kerjasama ini, kami akan menukar data untuk memastikan semua yang terlibat dalam industri penerbangan mendaftar dan membuat caruman demi kesejahteraan serta keselamatan sosial kumpulan pekerja ini,” katanya pada sidang media selepas majlis MoU berkenaan.
Mengulas lanjut Azman berkata, dengan kerjasama itu juga ia bermakna PERKESO boleh menggunakan data daripada MAVCOM sebagai pengawal selia industri penerbangan.
“Tetapi, apabila kami bekerjasama dengan MAVCOM, data itu sudah ada, jadi apa yang perlu kami lakukan ialah menyemak data tersebut dengan apa yang kami ada dalam pangkalan data kami.
“Ia adalah supaya kami tahu dan boleh meminta MAVCOM sebagai agensi penguatkuasa dalam membantu kami, dengan memberitahu ‘mungkin lebih baik jika melakukan intervensi awal’,” katanya.
Beliau berkata, intervensi awal adalah yang terbaik, iaitu dengan mendapatkan syarikat penerbangan untuk mendaftar dengan PERKESO dan membuat caruman untuk semua pekerja mereka sebagai salah satu syarat bagi mendapatkan lesen daripada MAVCOM.
“Kami juga mengharapkan kerjasama yang lebih baik dalam hal penempatan pekerjaan dan peluang dalam industri penerbangan ini.
“Seperti yang diketahui, ketika Covid-19, banyak industri penerbangan terjejas teruk, dari kakitangan darat hingga kepada kru teknikal,” katanya.
Beliau berkata, PERKESO berharap dapat bekerjasama dengan MAVCOM untuk menganjurkan pameran pekerjaan dan program kerjaya yang bertujuan untuk industri penerbangan dan membantu pencari kerja dalam industri ini dalam mendapatkan penempatan di syarikat-syarikat.
Terdahulu hari ini, PERKESO menganjurkan Pameran Kerjaya Mini MYFutureJobs Aviation di Wisma PERKESO sempena dengan MoU tersebut.
Ia menawarkan 160 kekosongan jawatan dalam 21 kategori daripada enam pemain industri penerbangan terkemuka, iaitu AirAsia, Menzies Aviation Malaysia Sdn Bhd, Turkish Aerospace Malaysia, Ikhlas.com, Santan dari Kumpulan AirAsia, dan APR-Aviation Training Centre. – MalaysiaGazette