Mohd Nazim menunjukkan gambar adik, anak saudara dan ibu bapanya yang maut dalam kemalangan, ketika ditemui di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, hari ini

KOTA TINGGI – Abang kepada seorang daripada tiga beranak yang maut kemalangan di Mersing malam tadi, sempat memangku adiknya sebelum menghembus nafas terakhir.

Menurut Mohd Nazim Md Yusuf, 42, sejurus mengetahui kemalangan yang menimpa adik, anak saudara dan kedua ibu bapanya daripada penduduk kampung, beliau bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, adiknya, Muhamad Izuddin, 36, dan juga anak tunggalnya, Athiyyah Nur Sofia Mohamed Izuddin, 5, masih hidup.

“Saya memangku Izuddin dan dia hanya menyatakan sakit sebelum saya mengajarnya mengucap sebelum dikejarkan ke Hospital Mersing namun meninggal dunia di sana.

“Anak Izuddin, Athiyyah Nur Sofia cedera semasa kemalangan dan sedar sebelum dibawa ke hospital manakala ibu dan bapa saya, Md Yusuf Mukhtar, 71, dan Rosnah Salleh, 65, saya lihat sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bapa saya merupakan seorang peneroka manakala ibu pula Pengerusi Pertubuhan Wanita Felcra Dinamis (Wadira) manakala adik bekerja sebagai seorang juruteknik di sebuah kilang di Johor Bahru,” katanya.

Anak sulung kepada enam beradik itu berkata demikian ketika ditemui di rumah ibu bapaya di Felcra Sungai Ara, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam tadi, tiga beranak itu maut dalam kemalangan ngeri melibatkan dua kereta di Kilometer 45 Jalan Mersing-Kota Tinggi dekat sini.

Kemalangan tersebut melibatkan kereta Proton Persona dinaiki empat beranak tersebut dengan Toyota Vios dipandu seorang pemuda.

Nahas tersebut mengorbankan ibu bapa dan adiknya manakala anak saudaranya dan pemuda tersebut cedera serta dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Bercerita lanjut, Mohd Nazim yang bekerja di kilang sawit di Felca tersebut berkata, Athiyyah Nur Sofia dijaga ibu dan bapanya sejak kecil manakala Izuddin bekerja di Johor Bahru.

Menurutnya, Izuddin yang merupakan seorang duda dan tinggal di Taman Daya, Johor Bahru akan pulang pada setiap hujung minggu ke rumah keluarganya itu untuk menjenguk anaknya.

“Semasa kejadian Izuddin sedang membawa anak dan ibu bapa saya untuk keluar makan di Bandar Tenggaroh sebelum dilanggar sebuah kereta yang terbabas.

“Sebelum meninggal adik atau ibu bapa saya tidak menunjukkan sebarang petanda, cuma dua minggu sebelum kejadian bapa ada pergi ke kebun mahu melihat kawasan kebun,” katanya.

Mengenai siapa yang akan menjaga Athiyyah Nur Sofia selepas ini, Mohd Nazim berkata, dia akan bertanyakan kepada kanak-kanak itu terlebih dahulu.

“Sama ada saya dan isteri akan menjaganya atau ibu saudara sebelah arwah ibunya akan menjaganya. Terpulang kepada kemahuan Athiyyah Nur Sofia.

“Athiyyah Nur Sofia sebelum ini memang sangat rapat dan manja dengan datuk dan nenek kerana dia tinggal di rumah datuknya sejak usia setahun lagi,” katanya.

Dia berkata, adik dan kedua ibu bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Sungai Ara petang ini di tempat yang sama isteri Izuddin disemadikan dua tahun lalu.

Mohd Nazim berharap keadilan untuk keluarganya kerana dalam kejadian tersebut adik dan kedua ibu bapanya tidak bersalah dan dilanggar kereta yang terbabas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here