KUALA LUMPUR- Pelanjutan penangguhan pematuhan syarat penggajian guna tenaga 80:20 bagi sektor pembuatan akan terus berkuat kuasa sehingga mekanisme levi pelbagai peringkat (MTLM) dilaksanakan sepenuhnya.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, kelonggaran itu memberi peluang kepada industri untuk menyesuaikan keperluan tenaga kerja mereka dengan lebih fleksibel, tanpa menjejaskan objektif kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
“Kerajaan secara berterusan menggalakkan sektor pembuatan beralih kepada automasi dan teknologi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).
Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa Kerajaan akan melaksanakan MTLM pada awal tahun 2025 untuk menggalakkan automasi dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara berperingkat,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.
Jelas MITI, bagi sektor pembuatan, MTLM bakal mengambil alih dasar 80:20 yang termaktub dalam syarat Lesen Pengilang.
Kerajaan juga mengumumkan bahawa levi yang dikutip akan disalurkan semula kepada pihak industri untuk meningkatkan penggunaan teknologi serta automasi, meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan pekerja asing yang sekali gus bakal menyumbang kepada peningkatan daya saing Malaysia di peringkat global.
Walau bagaimanapun, mengambil kira pelbagai faktor dan maklumbalas dari sektor- sektor industri, penangguhan pematuhan dasar 80:20 akan terus dilanjutkan sehingga MTLM dilaksanakan sepenuhnya.
Sementara itu, MITI akan terus memberi fokus kepada peningkatan kemahiran pekerja tempatan sebagai salah satu langkah utama untuk memastikan tenaga kerja tempatan dapat bersaing dalam ekonomi global yang semakin berteknologi tinggi. Peningkatan kemahiran ini bertujuan untuk menyediakan pekerja yang lebih berkemampuan dan dapat menyumbang kepada pendapatan bermaruah serta memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.
MITI juga akan terus berusaha untuk bekerjasama dengan pihak industri bagi memastikan sektor pembuatan dapat terus berkembang dengan lebih mampan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. -MalaysiaGazette