Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bergambar bersama buku Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) selepas melancarkannya di Dewan Perdana, Menara MITI, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai ramai tokoh pemimpin dan tidak terdesak mahu ‘mencuri’ pemimpin UMNO.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, parti berkenaan tidak ketandusan malah mempunyai ramai tokoh yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin pada masa depan.

Justeru katanya, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh tidak perlu mengugut Perdana Menteri dalam isu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dikatakan mahu sertai PKR.

Faezuddin mempersoalkan ugutan Muhammad Akmal itu yang dianggap bakal memberi kesan terhadap kerajaan Perpaduan.

“Sudah tiba masanya..” apa YB Akmal Saleh? Hendak ugut PMX? Ugut keluar daripada Kerajaan Perpaduan? Sudah-sudahlah hentikan ugutan sebegini. Selepas kerajaan perpaduan runtuh, politik kembali tidak stabil. Inikah hasrat Ketua Pemuda UMNO Malaysia?

“Untuk makluman Akmal Saleh, PKR punyai ramai tokoh pemimpin masa depan yang berbakat, tidaklah kita terdesak hingga mahu ‘mencuri’ pemimpin UMNO.

“Jadi, hentikan ugut atau menyerang rakan-rakan parti komponen dalam kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, AMK Johor menyelar kenyataan Muhammad Akmal itu yang dilihat cuba menggugat kestabilan politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Kata Faezuddin, seharusnya Muhammad Akmal bertemu sendiri dengan Tengku Zafrul yang masih belum membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti.

“Hentikan ugut PMX. Lebih molek sekiranya Akmal Saleh bertemu empat mata dengan Tengku Zafrul kemudian selesaikan masalah dalaman UMNO yang sedang berlaku seperti yang dinyatakan Tengku Zafrul,” katanya.

Menurut Faezuddin, sekiranya Tengku Zafrul berniat untuk keluar UMNO sekalipun, jelas hasratnya itu bukan disebabkan oleh pujukan pemimpin PKR jauh sekali pujukan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi kerana masalah dalaman UMNO sendiri.

“Jika kita rujuk kepada kenyataan media Tengku Zafrul semalam, jelas beliau meluahkan rasa kecewa terhadap kepimpinan UMNO khususnya pemimpin UMNO di Selangor yang tidak mengendahkan cadangan dan keluhan yang dikemukakan oleh beliau selama ini.

“Kemudian, sejak isu ini tular, kepimpinan UMNO langsung tidak pernah berhubung dengan Tengku Zafrul minta penjelasan malah terus menerus diserang secara belakang tabir. Siapa yang menyerang, itu Akmal Saleh perlu dapatkan maklumat lanjut daripada Tengku Zafrul.

“Setiausaha Agung Keadilan, Fuziah Salleh pada 13 Disember pun sudah nyatakan belum terima borang daripada Tengku Zafrul. Bahkan dalam kenyataan media Tengku Zafrul semalam, beliau belum putuskan hendak sertai mana-mana wadah baru,” ujarnya.

Semalam Anwar mengesahkan wujudnya perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ke dalam PKR.

Presiden PKR itu dilaporkan berkata, prinsip parti adalah terbuka kepada mana-mana pemimpin yang mampu memberi sumbangan kepada parti, tetapi perlu dilakukan dengan cara baik supaya hubungan dengan rakan parti lain, termasuk UMNO, tidak terjejas.

Tengku Zafrul dilaporkan kemudiannya mengakui bahawa terdapat perbincangan awal bersama PKR, namun masih tiada sebarang keputusan yang dibuat berhubung penyertaannya ke parti tersebut.

Menurut Tengku Zafrul, individu mempunyai hak asasi dan mutlak untuk memilih landasan perjuangan kerana tanpa keserasian, mustahil seseorang itu mampu memberi perkhidmatan yang terbaik.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Saya belum buat keputusan -Zafrul

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here