PENGERANG – Semua pihak terlibat membuat keputusan tidak meneruskan usaha semakan dan tafsiran yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan perlu dipertanggungjawabkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, perkara tersebut adalah serius kerana mengakibatkan negara terlepas Batu Puteh kepada pihak asing.
“Kami dengan sesungguhnya menggesa agar semua individu yang terlibat dalam keputusan tersebut dipertanggungjawabkan dan jika disyaki bersalah, mereka wajib dihadapkan ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai anak jati Pengerang kata beliau, pihaknya menzahirkan rasa penuh dukacita penduduk di sini dan kekesalan yang teramat mendalam dengan terlepasnya Batu Puteh.
Jelasnya, rakyat terutama penduduk Pengerang selama ini meletakkan harapan besar terhadap usaha mengembalikan kedaulatan Batu Puteh, namun telah dikhianati sewenang-wenangnya.
Dakwanya, perjuangan mempertahankan kedaulatan Malaysia diakhiri dengan tindakan seorang Perdana Menteri yang menyerahkan negara ke tangan asing dengan sewenang-wenangnya.
“Dengan terlepasnya Batu Puteh, yang hilang dan terkorban bukan sekadar sebuah batuan, tetapi kedaulatan ibu pertiwi buat selama-lamanya.
“Laporan yang telah lama dinantikan oleh rakyat Pengerang ini mendedahkan bahawa pada tahun 2018, Kerajaan Malaysia membuat keputusan menarik semula permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, meskipun terdapat bukti-bukti baharu yang memperkukuhkan tuntutan Malaysia ke atas Batu Puteh,” katanya.
Apa yang lebih mendukacitakan katanya, keputusan sebesar itu telah dibuat secara unilateral atau bersendirian oleh seorang Perdana Menteri tanpa melalui proses perbincangan yang wajar dengan jemaah Menteri terlebih dahulu, mengabaikan nasihat pakar perundangan dan fakta sejarah.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor berkata, kerajaan Persekutuan perlu memikul tanggungjawab moral mengambil tindakan tegas terhadap isu yang dianggap sebagai pengkhianat terhadap kedaulatan negara.
“Pengerang paling dekat dengan Batu Puteh. Seluruh rakyat Pengerang menegaskan kerajaan Persekutuan memikul tanggungjawab moral untuk menyampaikan mesej jelas bahawa ini merupakan suatu pengkhianatan ke atas kedaulatan negara yang tidak boleh diterima sama sekali,” ujarnya.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dalam laporan diedarkan kepada Ahli Parlimen pada 5 Disember lalu, mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.
Suruhanjaya itu berpendapat, Dr Mahathir berkemungkinan dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri ketika itu untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut walaupun bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas, permohonan itu mempunyai kebarangkalian untuk berjaya.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.- MalaysiaGazette