Tiga maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan di Jalan Mersing-Kota Tinggi, Mersing, malam tadi.

MERSING – Tiga beranak maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Kilometer 45, Jalan Mersing-Kota Tinggi dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kemalangan tersebut berlaku pada pukul 8.30 malam melibatkan kereta Toyota Vios dan Proton Persona.

“Siasatan mendapati Toyota Vios yang dipandu lelaki warga tempatan berumur 36 tahun dari arah Kuantan menuju ke Johor Bahru dipercayai telah terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Persona dari arah Kota Tinggi.

“Akibat kemalangan ini, pemandu Toyota Vios cedera parah di bahagian perut dan patah tangan kanan dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Razak berkata, pemandu Proton Persona iaitu seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun cedera parah di bahagian kepala.

Menurutnya, dua penumpang iaitu ibu dan bapanya berumur 65 dan 71 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat cedera parah di bahagian kepala.

Seorang lagi penumpang, anak kepada pemandu Proton Persona iaitu seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun cedera di bahagian kepala dan masih dirawat di HSI.

“Keadaan semasa adalah stabil dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian pada pukul 8.42 malam bersama-sama 12 anggota setelah menempuh jarak sejauh 52 kilometer.

Tiga sekeluarga yang menaiki Proton Persona, Md Yusuf Mukhtar, 71, dan Rosnah Salleh, 65, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dua lagi yang berada dalam Proton Persona iaitu pemandunya, Muhamad Izuddin Md Yusof dan kanak-kanak perempuan tersebut cedera,” ujarnya.

Beliau berkata, Muhamad Izuddin dan kanak-kanak perempuan berkenaan dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba.

Bagaimanapun Muhamad Izuddin meninggal dunia di Hospital Mersing manakala pemandu Toyota Vios yang cedera turut dikeluarkan oleh orang awam sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans Kementerian Kesihatan.

Tambahnya, mangsa yang maut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.45 malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here