KUALA LUMPUR- Masyarakat di negara ini yang tidak berpeluang meningkatkan kelayakan akademik secara konvensional, kini boleh melanjutkan pengajian melalui pembelajaran berasaskan kerja atau ‘work-based learning’ (WBL).
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, pengajian itu boleh diikuti sama ada secara separa, komprehensif atau pun program yang bersifat ‘apprentice’.
Katanya, WBL sebelum ini memastikan pelajar mendapatkan pembelajaran, latihan secukupnya daripada industri yang terbabit sekitar 60 peratus daripada keseluruhan masa mereka, manakala 40 peratus lagi boleh dihabiskan di kuliah.
“Keadah terkini iaitu WBL 2.0 memberikan fleksibiliti kepada pelajar dengan kerjasama industri tertentu, pelajar boleh menghabiskan seluruh masa mereka sepanjang pengajian di industri.
“WBL 2.0 memberikan pengiktirafan kepada tenaga kerja yang sudah berkhidmat dalam mana-mana agensi ataupun organisasi sekurang-kurangnya melepasi 15 tahun dan mengikuti pengajian di universiti yang menawarkan kaedah berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, menerusi WBL 2.0, masyarakat berpeluang untuk meraih anugerah akademik berdasarkan kepada prestasi dan kompetensi mereka sama ada ke peringkat sijil, diploma dan seterusnya.
Beliau berkata, dalam WBL 2.0, universiti yang terlibat menawarkan program akan melaksanakan pemetaan (mapping) dengan program atau bidang pekerjaan yang dilalui boleh bakal pelajar seperti mana yang telah dilaksanakan baru-baru ini, dalam permeteraian Nota Kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pertahanan.
“Dalam badan beruniform tentera, terdapat pelbagai bidang pekerjaan dilakukan oleh anggotanya misalnya kejuruteraan, perubatan dan cef, tetapi mereka juga dikehendaki menghadiri beberapa modul ataupun bengkel yang berstruktur,” katanya.
Mohammad Shatar berkata, melalui WBL 2.0, contohnya dalam bidang kulinari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menganugerahkan kelayakan akademik mengikut peringkat seperti diploma dan ijazah sarjana muda kepada pelajar selepas pemetaan modul diikutinya sama dengan di UiTM, walaupun mereka secara fizikalnya tidak berada di UiTM.
Sekiranya terdapat perbezaan, katanya, calon tersebut akan diminta oleh pihak UiTM untuk mengambil kursus tambahan sebagai memenuhi syarat kesetaraan.
“Inisiatif ini julung kali diperkenalkan di Malaysia selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir untuk memperkasa agenda PSH menerusi pendidikan fleksibel seterusnya membantu untuk menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan global.
“Jadi, diharapkan universiti memperbanyak penawaran WBL2.0 dengan memberi peluang kepada tenaga kerja yang sedang berkhidmat dalam organisasi, agensi dan sebagainya untuk memiliki sijil akademik jauh lebih tinggi,” katanya.- MalaysiaGazette