KUALA LUMPUR – Ahli Jemaah Menteri yang merupakan Alumni Universiti Malaya diwajibkan memberi sumbangan RM10,000 setiap seorang kepada Dana Wakaf Universiti Malaya (UMEF).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu graduan universiti sama yang mempunyai pendapatan lebih RM10,000 pula diwajibkan menyumbang RM1,000.
“Bermula dengan ahli-ahli Jemaah Menteri yang merupakan Alumni, kita akan mulakan, kerana wajib RM10,000 seorang.
“Saya percaya graduan universiti yang sumber pendapatannya itu menjangkau lebih RM10,000 harus diwajibkan untuk menghulurkan RM1,000 kepada endowment Universiti Malaya.
“Kalau kita kumpul keseluruhannya ini, saya percaya kita boleh melepasi angka setengah bilion ringgit, supaya tidak membebankan pemerintah dengan dana yang lebih besar,” katanya berucap pada Majlis Malam Alumni Universiti Malaysia, di sini, malam ini.
Turut hadir mencemar duli dalam majlis sama, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Perdana Menteri berkata, cadangan itu bukan bermakna kerajaan pentadbirannya mahu melepaskan tanggungjawab, sebaliknya kerana kekangan dan keterbatasan ekonomi ketika ini.
“Kita warisi keadaan ekonomi yang tidak diurus dengan begitu bertanggungjawab.
“Negara lebih terkenal dengan kelemahan tata kelola dan rasuah sehingga beban hutang mencecah ketika itu RM1.5 trilion,” katanya.
Katanya lagi, beliau berbangga kerana pengurusan dana lebih cekap dan sebahagian besar yang membantu merencana dan mengurus ekonomi itu adalah Alumni Universiti Malaya.
“Mudah-mudahan kita diberi kekuatan untuk memperbaiki supaya peruntukan pada masa akan datang dapat ditambah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette