KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa membentangkan Kertas Putih bagi menangani isu penguasaan 3M (Membaca, Menulis, Mengira), kemahiran literasi serta masalah keciciran yang semakin membimbangkan dalam sistem pendidikan negara ketika ini.
Menurut Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr Shatesh Kumar Shangar, isu itu memerlukan perhatian segera kerana laporan 2023 dan 2024 menunjukkan kelemahan ketara dalam penguasaan asas 3M.
Data terkini menunjukkan 27.24 peratus murid masih belum menguasai kemahiran asas tersebut.
Malah lebih membimbangkan, statistik Lembaga Peperiksaan (LP) pada 2023 mendedahkan daripada 395,870 calon yang berdaftar untuk peperiksaan SPM, seramai 10,160 pelajar (2.65 peratus) tidak hadir.
“Penguasaan 3M adalah asas kepada kejayaan pendidikan dan pembangunan negara namun jurang pencapaian masih ketara terutamanya di kawasan luar bandar dan kalangan keluarga berpendapatan rendah.
“Masalah keciciran memerlukan tindakan holistik dan sistematik kerana setiap murid berhak mendapat akses pendidikan berkualiti tanpa terjejas oleh faktor sosio ekonomi.
“KPM perlu mengenal pasti punca keciciran dan melaksanakan langkah pencegahan lebih berkesan, termasuk melatih guru untuk menangani isu seperti tekanan, kemiskinan dan trauma,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Shatesh juga mencadangkan sistem pemantauan holistik menggunakan data analitik berkaitan keputusan peperiksaan, kehadiran dan tingkah laku murid bagi mengenal pasti mereka yang berisiko tercicir.
Jelas beliau, Putera MIC mendesak KPM membentangkan Kertas Putih komprehensif itu dengan langkah konkrit bagi meningkatkan penguasaan 3M, memperkukuh kemahiran literasi dan menangani keciciran.
“Reformasi pendidikan ini sangatlah penting dan perlu dilaksanakan seawal tahun 2025 bagi memastikan sistem pendidikan lebih inklusif dan berkualiti.
“Ingat, ini juga adalah kunci pembangunan negara dan kami komited mendesak agar perubahan ini segera dilaksanakan,” tegasnya. – MalaysiaGazette