KUALA LUMPUR — Seorang jururawat bersama lima anaknya mengalami kecederaan selepas kenderaan serba guna (MPV) yang dipandu hilang kawalan lalu terbabas di susur ke Plaza Tol Ajil, Hulu Terengganu, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu mangsa, Siti Hasilah Ali, 43, dalam perjalanan dari Kemaman menuju ke rumah ibunya di Kampung Langgar, Kuala Berang.
“Hasil siasatan mendapati kereta dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan, melanggar besi penghadang dan berpusing lalu merempuh sebatang pokok.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dalaman, manakala anaknya, Alyaa Nurdina, 17, patah tulang belakang, anak bongsu, Hasya Sumayyah, 4, turut cedera di kepala dan patah kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiga lagi anak mangsa yang berusia antara 10 hingga 16 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan segera di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu dinasihatkan sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujarnya. – MalaysiaGazette