PUTRAJAYA – Kenderaan elektrik (EV) selain Proton e.Mas 7 akan digunakan semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Proton e.Mas 7 berfungsi sebagai kereta rasmi sepanjang sidang kemuncak itu namun jenama lain akan diguna mengikut keperluan dan permintaan.
Jelasnya, terdapat permintaan berbeza untuk ketua kerajaan, menteri dan pegawai kanan rasmi.
“Ketika ini persiapan kita dalam peringkat terakhir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim umum Proton e.Mas 7 sebagai kereta rasmi pada Persidangan ASEAN 2025.
“Kita akan guna kereta e.Mas pada peringkat tertentu, tetapi peringkat lain juga akan guna EV dari jenama berbeza,” katanya. selepas majlis menyerahkan Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan kepada EV dan perasmian Stesen Pengecas Pantas EV (DCFC) pertama di Kompleks F, di sini, hari ini.
Semalam Anwar ketika melancarkan Proton e.MAs 7 berkata, kerajaan mahu menjadikan Proton e.Mas 7 sebagai contoh di rantau Asia dalam penghasilan dan pembangunan EV, selaras komitmen negara kepada pelepasan karbon sifar menjelang 2050.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, peralihan kenderaan kerajaan kepada jenis kenderaan elektrik akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun depan.
Katanya, Kementerian Kewangan akan dimuktamadkan perkara tersebut dalam masa terdekat.
“Ini tidak akan dibuat secara sekaligus, tapi prosesnya sudah bermula dan akan dimuktamadkan. Semua keputusan tertakluk kepada Kementerian Kewangan, bergantung kepada kepada keperluan dan beberapa aspek diambil kira kerana dalam garis panduan.
“Kita perlu lihat keperluan itu bergantung sama ada peralihan itu boleh dipenuhi EV tempatan atau EV lain dan sebagainya,” ujarnya. – MalaysiaGazette