KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor (DMPNS) menggesa kerajaan mengkaji semula pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Ketuanya, Wan Hasrina Wan Hassan berkata, pelantikan Thaksin itu disifatkan sebagai satu langkah yang tidak wajar dan menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.
Menurut beliau, ini kerana Thaksin merupakan tokoh yang terpalit dengan pelbagai kontroversi termasuk tuduhan salah guna kuasa dan rasuah serta pernah dijatuhi hukuman penjara di negaranya sendiri.
“Pelantikan Thaksin menimbulkan persoalan serius mengenai kriteria dan justifikasi yang digunakan dalam pemilihan penasihat.
“Apakah kepakaran dan sumbangan yang boleh diberikan oleh Thaksin kepada Kepengerusian ASEAN 2025?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Wan Hasrina, Malaysia seharusnya memilih tokoh yang bersih dan berintegriti untuk memegang jawatan penting seperti penasihat kepada pengerusi ASEAN.
“Sehubungan itu, DMPNS menyeru Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk mempertimbangkan semula pelantikan Thaksin dan memilih tokoh yang lebih layak dan berwibawa untuk memegang jawatan tersebut,” katanya.
Semalam, ketika mengumumkan pelantikan Thaksin, Anwar berkata, Malaysia memerlukan negarawan sepertinya untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu serantau.
“Saya juga bersetuju untuk melantik beliau (Thaksin) sebagai penasihat peribadi saya, (membantu Malaysia sebagai) Pengerusi ASEAN, bersama pasukan dari negara ASEAN dalam kerangka tidak rasmi,” kata Anwar. – MalaysiaGazette