KUALA LUMPUR – Kalau betul Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sertai PKR, yang patut kena marah ialah PKR.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi, PKR ada kuasa untuk tolak jika ia ada moral untuk jaga hati kawan apa lagi setiakawan kerajaan perpaduan.
“Betul cakap Tengku Zafrul. Hak dia untuk tentukan parti mana dia mahu sertai. Ahli UMNO setakat boleh marah tetapi tidak boleh buat apa apa.
“Mesti ada sebab musabab luar biasa kenapa Tengku Zafrul laku macam pisang goreng panas. Sekarang parti politik macam syarikat koporat. Ada orang bertaraf CEO (ketua pegawai eksekutif) yang laku pergi ke mana mana parti politik,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu secara sinikal, Puad menyatakan tidak mungkin sebab musabab itu ada unsur titah adendum yang PKR tidak boleh engkari.
Sebelum itu, Tengku Zafrul yang juga menyatakan ada perbincangan mengenai penyertaannya ke dalam PKR namun belum membuat keputusan.
Tengku Zafrul merupakan ahli MKT UMNO dan Ketua Bahagian UMNO Kota Raja selain Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.- MalaysiaGazette