KULAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menerima sebanyak 10,003 aduan membabitkan kes penipuan perniagaan secara dalam talian, sepanjang tahun ini.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, kes penipuan perniagaan dalam talian merupakan antara aduan paling tinggi diterima pihaknya sejak kebelakangan ini berikutan perkembangan dan penggunaan pelbagai teknologi terkini.
“Untuk kes dalam talian yang dilaporkan, pertamanya sebagai contoh, kes melibatkan barang yang diiklankan itu tidak sama dengan barang yang sebenarnya dijual. Maknanya dia mengelirukan pembeli.
“Kedua barang yang dijualnya tidak berkualiti, baru pakai kadang-kadang sudah rosak dan sebaginya.
“Ketiga, kadang-kadang pengguna akan dapati peniaga terus senyap (selepas berurursan),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Program Pelupusan Eksibit KPDN Negeri Johor di Kompleks Penyimpanan Eksibit Senai di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau mahu orang ramai membuat aduan sekiranya ditipu atau mendapati mana-mana peniaga cuba melanggar peraturan agar tindakan dapat terus dibuat.
Pengguna juga ujarnya, boleh membuat aduan dan failkan kes di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, tertakluk hanya untuk penggunaan bukan bagi tujuan komersial ataupun dijual semula.
Sehingga kini katanya, KPDN Johor sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan perkara seperti itu daripada berleluasa. – MalaysiaGazette