KUALA LUMPUR – Seorang lelaki kerugian RM1 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan dalam urusan mendapatkan pinjaman perniagaan dari luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil laporan mendapati mangsa mula berkenalan dengan individu yang mendakwa mampu membantu mendapatkan pinjaman berjumlah RM200 juta pada April lalu.
“Setelah beberapa siri perbincangan, mangsa yang berusia 41 tahun itu bersetuju untuk meneruskan urusan tersebut bagi kegunaan syarikat miliknya.
“Mangsa kemudiannya diperkenalkan kepada seorang peguam yang dikatakan akan mengendalikan semua dokumentasi dan pembayaran berkaitan proses pinjaman dan beberapa dokumen telah ditandatangani sebelum mangsa diminta membuat pembayaran deposit sebanyak RM1 juta ke dalam akaun klien firma guaman terbabit,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, menurut Ramli, selepas lebih dua bulan pembayaran dibuat, mangsa gagal mendapatkan perkembangan terkini mengenai status pinjaman tersebut dan usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada peguam terbabit hanya dibalas dengan pelbagai alasan.
Tambah beliau, mangsa turut meminta peguam itu membuktikan bahawa wang deposit yang dibayar masih berada dalam akaun firma guaman berkenaan, namun permintaan itu ditolak tanpa sebarang penjelasan.
“Susulan itu, dia telah membuat laporan polis pada 8 Disember lalu setelah menyedari terdapat keraguan dalam urusan tersebut,” ujarnya.
Ramli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman bagi kes pecah amanah jenayah oleh ejen atau penjawat awam dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan pihak yang terlibat.
Dalam kes pecah amanah jenayah yang lain, seorang lelaki berusia 40 tahun membuat laporan polis pada 29 November lalu mendakwa peguam yang dilantik sebagai pentadbir sementara oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melakukan pecah amanah ke atas harta pusaka milik ibunya.
Menurut Ramli, hasil semakan mendapati terdapat lima transaksi pengeluaran wang yang meragukan dari akaun bank milik mendiang ibunya dan kesemua transaksi tersebut berjumlah RM2,072,708.25 juta dibuat tanpa pengetahuannya.
“Dia mendakwa peguam terbabit dipercayai menyalahgunakan kuasa yang diberikan sebagai pentadbir sementara harta pusaka berkenaan,” katanya.
Ramli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melibatkan kes pecah amanah oleh individu yang diamanahkan dengan kuasa atau tanggungjawab tertentu
yang memperuntukkan hukuman berat jika sabit kesalahan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar transaksi tersebut serta penglibatan individu yang bertanggungjawab dan polis dijangka akan memanggil beberapa saksi untuk membantu siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette