KUALA LUMPUR – Kontroversi penyertaan Ahli Majlis Tertinggi Kerja UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan tiada keikhlasan dalam kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Komunikasi Pemuda BN, Neow Choo Seong berkata, polemik itu turut mengesahkan jajaran politik antara BN dan PH hanya untuk kepentingan sendiri semata-mata.
Sehubungan itu, tegas beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA, BN perlu kekal sebagai satu gabungan parti bermaruah dan sebarang usaha mempermain-mainkan harus ditentang sekeras-kerasnya.
“Tindakan melompat parti juga berupaya mencetuskan ketidakstabilan politik sekali gus bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada 26 Februari lalu yang mahu melihat kestabilan politik di negara ini, demi memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, tambah Choo Seong, Pemuda MCA menyeru kepimpinan BN memandang serius isu tersebut dan berwaspada dengan ‘musuh dalam selimut’.
Dalam masa sama, BN perlu fokus dalam usaha memperkuat dan memperkukuhkan parti bagi memastikan tidak akan terus dipermainkan, dipijak dan hanya ‘melukut di tepi gantang’.
“Pemuda MCA juga bersependapat dengan Pergerakan Pemuda UMNO supaya hubungan BN-PH ini dikaji semula demi kebaikan masa depan BN.
“Melainkan kita rela dipergunakan oleh pihak lain demi kepentingan mereka dan membiarkan mereka bertambah kuat, manakala parti kita pula dibiarkan semakin lemah,” katanya lagi.
Kelmarin, Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan ada perbincangan awal berkenaan desas-desus Tengku Zafrul keluar daripada UMNO bagi menyertai PKR.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul menjelaskan, perbincangan mengenai perkara itu masih di peringkat awal dan tidak menyentuh sebarang agenda berhubung jawatan peringkat negeri mahu pun pilihan raya kecil. – MalaysiaGazette