Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keputusan rejim zionis Israel untuk memperluaskan penempatan haram di Bukit Golan yang diduduki, yang secara terang-terangan melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Syria.

Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri berkata, serangan udara Israel yang menyasarkan pelbagai lokasi di wilayah Syria bertentangan dengan prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

Sehubungan itu, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar menunaikan tanggungjawab undang-undang dan moral mereka dengan memastikan rejim zionis Israel segera menghentikan semua serangan haram mereka dan bertanggungjawab atas pendudukan haram di tanah Syria, selaras dengan Resolusi 497 (1981) Majlis Keselamatan PBB.

Malaysia juga menuntut Israel mematuhi undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB berkaitan, termasuk Resolusi 79/83 yang diterimapakai pada 3 Disember 2024.

Tambah Wisma Putra, Malaysia terus menyokong kedaulatan, kemerdekaan, dan keutuhan wilayah Syria serta bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi mencapai keamanan, keselamatan, dan kestabilan yang berkekalan di Syria dan rantau Asia Barat yang lebih luas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast