Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Foto fail MOHD ADZLAN.

DUNIA hari ini menyaksikan kepesatan kandungan maklumat menguasai kebanyakan apa yang kita rancang dan laksanakan dalam pemikiran dan perbuatan kita seharian. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa teknologi maklumat telah berjaya merubah pemikiran masyarakat dengan menampilkan pelbagai isu dan penerokaan ilmu baru dari semasa ke semasa.

Rangkaian maklumat ini adalah sebenarnya hasil ‘penjajahan minda’ yang terbesar dalam kalangan pengguna siber dan masyarakat dunia.

Dalam hal ini, Kementerian Komunikasi telah mengorak langkah membendung lambakan kandungan negatif dengan mengadakan pelbagai pendekatan terutamanya membendung kandungan berita palsu dan jelik.

Sebaliknya, lambakan kandungan maklumat ini akan mengundang pelbagai masalah psikologi, emosi dan gangguan kepada peinsip kehidupan seperti masalah ketagihan Internet, kemurungan individu, kecelaruan identiti akibat tidak dapat membezakan di antara kehidupan realiti dan penyamaran dunia virtual serta jenayah siber.

Dalam hal ini, kita terpaksa menghadapi pelbagai implikasi negatif yang ‘menyerang’ rentak pemikiran masyarakat kita apabila kebanyakan daripada masyarakat kita terpedaya dengan anasir-anasir jenayah yang berpunca daripada penyalahgunaan kandungan siber.

Sumbangan positif boleh dilihat dari segi percambahan idea-idea baru, rangkaian ilmu pengetahuan yang bernilai infiniti atau tidak berpenghujung dan membina hubungan komunikasi yang mantap tanpa sempadan.

Banyak negara maju pada masa kini sedang mengkaji mekanisme untuk mengawal pengaruh negatif kandungan maklumat siber yang banyak mendatangkan kerosakan di negara-negara mereka.

Selain daripada penguatkuasaan regulasi dan peraturan, kementerian mencuba pendekatan yang berbeza,iaitu memberi pendidikan kesedaran kepada masyarakat untuk menapis kandungan maklumat tersebut berpandukan kepada kematangan dan rasional fikiran masyarakat.

Keratan layar laporan berita palsu.

Ini jelas dilaksanakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana kerajaan dengan kesungguhannya melaporkan hal-hal terkini wabak Covid-19 untuk memberikan pencerahan dari segi pemakluman dan pendidikan kepada masyarakat berhubung hal sedemikian.

Pendekatan advokasi Kerajaan juga tidak terhad dari kaedah pemakluman seharian tetapi disokong dan dibantu dengan kempen-kempen pendidikan sosial berkaitan dengan kaedah penjagaan kesihatan dan tatalaku masyarakat menghadapi budaya norma Baharu.

Dengan konyeks ini peranan masyarakat menjadi agen penting dalam menentukan tapisan penerimaan lambakan maklumat yang diperolehi mereka setiap masa akan dapat ditangani dengan sebaiknya apabila tindakan konsisten kementerian membendung penularan berita palsu dan strategi penyebaran maklumat berita yang tepat setiap masa dalam semua rangkaian media penyiaran dan digital dapat dilaksanakan dengan baik.

Dalam konteks Malaysia, sejak internet bertapak di negara kita pada akhir 1996 lagi, pelbagai cabaran dihadapi oleh kerajaan dan pengguna teknologi ini telah mengundang penggubalan Undang-undang Siber pada tahun 1998 di negara ini.

Salah satu akta yang menjadi teras kepada undang-undang siber itu ialah Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588). Akta ini menunjukkan sikap proaktif kerajaan untuk mengadapi gelombang teknologi maklumat yang pantas dan berupaya memberi ancaman kepada dunia kehidupan masyarakat Malaysia sekiranya tidak dibendung.

Sikap optimistik kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) rentetan daripada fenomena ini telah membuka suatu ruang baru kepada masyarakat pengguna media baru di negara ini untuk menikmati teknologi canggih itu dengan berhemah.

Sejak Malaysia memperkenalkan satu mekanisme amalan penapisan maklumat media yang dipanggil Pengawalseliaan Kendiri (Self-regulation), masyarakat pengguna media diberi pendidikan merangsang sikap berhemah bagi mengawal impak kandungan media secara berhemah.

Mekanisme ini telah pun diamalkan oleh beberapa negara maju untuk mendidik masyarakat mereka menapis kandungan-kandungan media yang jelik atau memberi ancaman keganasan kepada negara dan pendiuduk negara tersebut. Sekyen 233 dalam akta ini dengan jelas melarang sebarang kandungan jelik dan palsu atau apa sahaja kandungan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesejahteraan dan keselamatan negara.

Pelanggaran di bawah seksyen tersebut akan menyebabkan seseorang yang melanggar suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun.

Selain itu, Kod Kandungan Media yang diwujudkan hasil daripada peruntukan Akta 588 ini bertujuan untuk menjadi panduan kepada pihak media dan pengguna menerbit kandungan media yang bersesuaian dengan estetika budaya dan peradaban masyarakat majmuk negara ini dan menjadi tanda aras kepada sistem kawalan kandungan media yang membolehkan pemain industri media menghasilkan kandungan media tempatan yang bermutu tinggi,sesuai untuk tontotan pengguna negara ini dan mencerminkan kemurniaan identiti nasional.

Tawaran yang disediakan oleh Celcom, Digi, Maxis, UMobile dan Telekom Malaysia (TM) itu dilanjutkan sehingga 30 April 2021, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.- Gambar hiasan.

Sebagai anggota masyarakat yang prihatin terhadap penularan kandungan media, kita harus mempunyai daya keprihatinan untuk menilai sama ada kandungan tersebut bersesuaian atai tidak terhadap diri kita dan estetika pemgamalan budaya yang kita amalkan.

Melalui pendekatan advokasi media yang berterusan, kita mengharapkan bukan sahaja akan dapat menyaring maklumat mengikut acuan  persepsi dan budaya masyarakat kitasekaligus dapat memelihara kemurnian peranan media dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Justeru, menjadi suatu tanggungjawab penting bagi setiap anggota masyarakat untuk memastikan bahawa mereka harus prihatin setiap masa dengan apa juga bentuk kandungan media dan kandungan maklumat yang dihidangkan kepada mereka.

Tanpa menyelidik dan memantau kandungan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat. Ini dapat mengelakkan pihak media atau penyedia maklumat dalam media siber akan sewenang-wenangnya menggunakan pengaruh mereka untuk mengekspoitasikan maklumat-maklumat tersebut demi kepentingan mereka.

Pendidikan dan kesedaran menangani penyelewengan dan eksploitasi maklumat ini haruslah dikembangkan ke semua pihak termasuklah di bangku persekolahan lagi.

Generasi Ketiga seharusnya dibimbing untuk memperaktiskan sifat keprihatinan mereka untuk memilih bahan bacaan atau bahan media yang bersifat positif memberi faedah dan mengekalkan unsur moral yang baik dalam kalangam anak-anak muda ini.

Kematangan memilih bahan-bahan media seperti ini seharusnya dikongsikan bersama ahli keluarga dan golongan pendidik di sekolah mahupun di Institusi-institusi Pengajian Tinggi negara.

Kementerian Komunikasi juga harus menggelakkan program advokasi pendidikan maklumat ini secara konsisten di seluruh negara, memberikan ruang kepada semua anggota masyarakat untuk memahami kepentingan memperoleh berita sebenar dan menyediakan platform bersesuaian kepada mereka untuk memeriksa kesahihan berita-berita yang tular di media massa.

Dengan harapan sebeginilah, kita boleh menyaksikan kelestarian pemurnian kandungan media dan kandungan maklumat yang boleh memimpin generasi akan datang mempertahankan prinsip kehidupan yang mereka nikmati pada hari ini. – MalaysiaGazette

Oleh Ts. Dr. Syed Agil Alsagoff

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here