KUANTAN – Kehilangan Nur Soleeha Sorfina Zabri pada pagi Ahad lalu terjawab dan dia bukan hilang disebabkan mengikut teman lelaki seperti yang didakwa.
Namun gadis berusia 14 tahun berkata, dia hanya keluar bersiar pada malam hujung minggu bersama rakan perempuan menaiki motosikal di sekitar bandar Kuantan.
Nur Soleeha ketika dihubungi berkata, dia keluar rumah kira-kira pukul 2 pagi tanpa memberitahu ibunya dan pulang semula ke rumahnya kira-kira pukul 5 pagi.
”Namun sekitar awal 7 pagi saya keluar semula bersama rakan perempuan dan ikut ke rumah rakannya di Sungai Isap pula. Kemudian pergi lagi bersiar sebelum pulang ke rumah ibu angkat di Kampung Pandan pada tengah malam Isnin,” katanya.
Anak bongsu dari lapan beradik itu mengambil keputusan pulang ke rumah ibu angkat kerana khuatir dimarahi ibunya susulan menyedari dirinya melakukan kesalahan kerana keluar rumah tanpa izin.
Semalam media melaporkan polis mencari seorang remaja perempuan yang berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas dipercayai mengikut teman lelaki yang baru dikenali sebagai ’Ikhwan’.
Ibu kandung remaja itu menyedari kehilangan anak gadisnya ketika menyapu sampah pukul 3 pagi dan anaknya tiada di bilik di kediaman mereka dekat Taman Sri Inderapura di sini.
Sehubungan itu, Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan remaja perempuan itu telah pulang kepada pangkuan keluarganya dengan selamat semalam.
”Nur Soleeha Sorfina Zabri dipercayai pulang sendiri pukul 10.30 malam tetapi setakat ini polis belum menerima laporan rasmi berhubung kepulangan gadis itu daripada pihak keluarga.
Menurutnya, remaja berkenaan akan dipanggil untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti punca dia bertindak demikian.
Jelasnya berdasarkan keterangan keluarga, gadis yang sudah tidak bersekolah itu difahamkan pernah keluar rumah dan tidak balik kerana mengikut kenalan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: