KUALA LUMPUR – Ketegasan Pas membela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam isu titah adendum disebabkan parti itu konsisten dalam memperjuangkan keadilan serta menghulur tangan kepada yang jatuh dan ditekan pihak atasan yang lebih berkuasa.
Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa berkata, Pas juga tegas dalam dan istiqamah dalam dalam menegakkan keadilan, membela mereka yang dizalimi serta menjaga siyasah syariah secara konsisten.
Jelas beliau, setiap tindakan yang diambil Pas bukan dbuat secara semberono sebaliknya diteliti dan dikaji oleh cerdik pandai dan alim ulama dalam parti itu.
Malah, ujar Annuar, tindakan itu juga bukan strategi individu atau mempunyai tipu muslihat bagi agenda peribadi.
“Dalam isu Datuk Seri Najib, ternyata beliau dinafikan keadilan sewajarnya. Pas konsisten menjunjung rule of law dan proses perundangan.
“DSNR (Najib) telah melalui proses itu dengan penuh sabar dan penuh keperitan.
“Namun dalam proses itu kenapa urusan haknya yang dijamin dalam Perlembagaan dan perkenan diraja yang diperolehinya bukan saja dinafikan, malah cuba disembunyikan tanpa ketelusan termasuk di Parlimen,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook hari ini.
Tambah Annuar, lebih malang buat Najib, semua ini berlaku ketika rakan yang menjanjikan pembelaan sedang berkuasa serta terlibat secara langsung tetapi tidak membantunya secara tegas dan tuntas.
Sehubungan itu sekiranya rakan Najib itu gagal membantu atas apa alasan sekali pun maka tidak wajar mereka mempersoalkan pendirian Pas.
“Bayangkan jika Pas tidak bersuara lantang di Parlimen, isu yang besar ini dan ketidakadilan pada DSNR (Najib) ini akan terus dibisukan oleh semua.
“Isu DSNR (Najib) kini bukan di tahap isu kepartian. Ia adalah isu keadilan, isu keluhuran undang undang serta isu kesetiaan kepada raja yang memerintah.
“Pas istiqamah memperjuangkan prinsip-prinsip ini,” katanya.
Apatah lagi, tambah Annuar, rakyat kini sedang melihat pemimpin utama negara terutama bekas-bekas Perdana Menteri dilayan dengan buruk ketika mereka tidak lagi berkuasa.
Sedangkan dalam masa sama, tambah beliau, mereka yang berkuasa dilihat mendapat layanan istimewa di sisi undang-undang.
“Sudah tentu negara memerlukan satu kejernihan dari politik dendam dan suasana tidak konsisten ini. Politik dendam perlu diganti dengan politik lebih harmonis di mana tumpuan diberi kepada performance pemerintah untuk menyempurnakan isu rakyat dan nagara.
“Jika tidak, kita akan terus diburu sense of insecurity, kerana pertukaran kuasa akan membawa kepada siri baru witch hunting dan membalas dendam dan karma yang tidak berkesudahan,” katanya. – MalaysiaGazette