KUALA LUMPUR – Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri automotif negara.
Presiden Pekema, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, kerjasama itu sebahagian daripada inisiatif untuk menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan pendidikan tinggi di negara ini.
Tambah beliau, ia juga bertujuan mengukuhkan lagi sinergi antara dunia akademik dan industri sekali gus menyumbang kepada kemampanan dan kemajuan ekonomi negara khususnya dalam sektor automotif yang kini dipacu oleh teknologi hijau dan mesra alam.
“Kami percaya kolaborasi ini bukan sahaja akan menghasilkan rumusan bagi memperkasa ahli-ahli Pekema tetapi juga akan menyumbang kepada pembangunan akademik dan modal insan yang menjadi teras kepada kemajuan negara.
“Gabungan kepakaran UUM dalam bidang akademik dan pengalaman Pekema dalam industri automotif diyakini mampu menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi yang bakal memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerjasama antara kedua-dua pihak itu dimeterai menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam majlis yang berlangsung di Cyberjaya semalam, yang mana Mohamed Nazari mewakili Pekema manakala UUM diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.
Hadir sama menyaksikan pertukaran MoU itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian.
Dalam majlis sama, Pekema turut menyerahkan tiga geran penyelidikan kepada UUM serta dana bagi membiayai Program Biasiswa Yayasan Pekema berjumlah RM32,000.
Program Biasiswa Yayasan PEKEMA itu merupakan inisiatif jangka panjang untuk menyokong pelajar yang berpotensi besar dalam bidang automotif, manakala geran kajian penyelidikan bertujuan menyediakan haluan strategik untuk membantu ahli-ahli Pekema dalam mengemudi laluan industri automotif yang dinamik.
Sementara itu, Mohd Fo’ad berkata, kerjasama dengan Pekema itu merupakan langkah strategik dalam meningkatkan hubungan antara universiti dan industri.
“Penglibatan pihak industri dalam penyelidikan dan pembangunan berpotensi meningkatkan keupayaan industri tempatan.
“Kerjasama ini juga akan membuka pintu kepada pertukaran pengetahuan, teknologi dan sumber, mewujudkan ekosistem yang dinamik dan inovatif untuk menyokong pertumbuhan mampan industri automotif negara,” katanya. – MalaysiaGazette