KUALA LUMPUR – Penduduk di Tanjung Asam dan Teluk Kumbar, Pulau Pinang khasnya komuniti B40, bakal menikmati perkhidmatan Internet dan liputan mudah alih laju menerusi projek telekomunikasi baharu yang diterajui oleh Konsortium Jaringan Selangor (KJS).
Projek ini merupakan sebahagian daripada program ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’ oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dengan kerjasama YTL Communications (YES).
KJS dan YES dalam satu kenyataan berkata, pembinaan menara telekomunikasi setinggi 60 meter di kawasan Jalan Gertak Sanggul akan memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk.
Katanya, penduduk khasnya golongan B40 di kawasan itu menghadapi kesukaran mengakses Internet namun kini boleh menikmati perkhidmatan 4G dan 5G yang stabil serta pantas.
“Penduduk di Kampung Gertak Sanggul dan Kampung Nelayan Gertak Sanggul tidak lagi perlu bersusah payah mencari liputan Internet untuk berkomunikasi atau menjalankan urusan seharian.
“Dengan liputan Internet yang lebih baik, anak-anak daripada keluarga B40 dapat mengikuti kelas dalam talian dengan lancar, menyelesaikan tugasan sekolah, dan mengakses bahan pembelajaran digital bagi memastikan tiada lagi tercicir,” katanya.
Difahamkan juga, golongan lain yang mendapat faedah termasuklah peniaga kecil dan penjaja yang kini menggunakan internet bagi tujuan memasarkan produk secara dalam talian, menerima pesanan melalui aplikasi, dan berhubung dengan pelanggan lebih mudah.
Komuniti nelatan juga mendapat faedah besar daripada projek ini.
“Liputan internet yang meluas hingga ke kawasan perairan membolehkan mereka mengakses ramalan cuaca, aplikasi navigasi, dan pasaran jualan ikan secara digital.
“Ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan mereka semasa di laut tetapi juga membantu menjual hasil tangkapan dengan lebih cepat dan efisien,” ujar kenyataan itu.
Tambahnya, menara komunikasi di situ berjaya disiapkan dalam tempoh empat minggu, meskipun berdepan dengan keadaan cuaca yang mencabar.
Katanya, KJS sangat komited dalam melaksanakan projek ini bagi menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi oleh komuniti B40 di kawasan luar bandar.
Selain itu, kerjasama dengan YES selaku penyedia Internet berkelajuan tinggi berjaya menyahut seruan kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.
“Komitmen ini memastikan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira lokasi atau status ekonomi, dapat menikmati akses Internet berkualiti.
“Menjelang akhir Disember 2024, penduduk Tanjung Asam, Gertak Sanggul, dan kawasan sekitarnya bakal menikmati faedah penuh daripada menara ini.
“Mereka akhirnya dapat berhubung dengan dunia luar, memperbaiki taraf hidup, dan mencipta peluang baharu untuk diri serta keluarga,” katanya. -MalaysiaGazette