Radin Imran Radin Mohd. Yassin ketika dibaca ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor.

KUALA LUMPUR – Permohonan pendakwaan agar lima ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor dibicarakan bersama, akan didengar oleh Mahkamah Tinggi, di sini, pada 20 Januari tahun depan.

Kelima-lima tertuduh didakwa atas sembilan pertuduhan berasingan termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan Daesh.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu pada sebutan kes hari ini. Prosiding dihadiri oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan dan peguam Faizal Rahman yang mewakili kesemua tertuduh.

Mereka ialah bapa penyerang itu, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62; ibunya Rosna Jantan, 59; dan tiga adik-beradiknya Radin Romyullah Radin Imran, 34; Farhah Sobrina Radin Imran, 23; dan Mariah Radin Imran, 19.

Terdahulu, Yazid memberitahu, kesemua sembilan pertuduhan yang dihadapi kelima-lima tertuduh perlu dibicarakan bersama kerana mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Beliau berkata, pihak pendakwaan akan menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Sementara itu, Faizal memberitahu mahkamah, buat masa ini pihaknya belum berpendirian sama ada akan membantah permohonan pendakwaan, tetapi akan memfailkan afidavit jawapan selepas kesemua dokumen diterima.

Radin Imran berdepan empat pertuduhan, termasuk mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait kumpulan Daesh.

Dia juga dituduh memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan pengganas Daesh dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) akta sama.

Radin Imran dan anak sulungnya, Radin Romyullah turut dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) kanun sama, memberi sokongan kepada Daesh dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi.

Bagi tuduhan kempat, dia didakwa memiliki buku bertajuk Hakikat Islam & Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang berkait kumpulan Daeshdan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a).

Radin Romyullah yang juga suspek kedua juga didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a), memiliki cakera keras yang mengandungi bahan berkaitan kumpulan Daesh dan perlakuan pengganas.

Rosna, Farhah Sobrina dan Mariah pula dituduh sengaja tidak memberikan apa-apa maklumat berkait kesalahan dilakukan membabitkan Seksyen 130J(1)(a) serta Seksyen 130G(a) dan didakwa mengikut Seksyen 130M kanun sama.

Dalam kejadian tragis pada 17 Mei lalu, dua anggota polis maut manakala seorang lagi parah selepas ditembak dan ditetak seorang seorang yang bertindak menceroboh masuk Balai Polis Ulu Tiram.

Mangsa yang ditembak dikenal pasti sebagai Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, manakala anggota yang ditetak pula ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast