KUALA LUMPUR – Seorang pesara kerajaan kerugian lebih RM804,903.49 kerana terperdaya dengan sindiket penipuan telefon selepas menerima panggilan telefon yang mencurigakan pada 15 November lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita yang berusia 61 tahun itu telah menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) cawangan Kuantan, Pahang.
“Individu itu mendakwa terdapat tunggakan bil elektrik di sebuah rumah di Kuantan yang kononnya milik mangsa dan mangsa menafikan memiliki rumah di alamat berkenaan.
“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada individu lain yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Fahmi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan lelaki itu mendakwa semakan mendapati nama mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan satu waran tangkap telah dikeluarkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut Ramli, mangsa seterusnya menerima panggilan daripada individu ketiga yang dikenali sebagai Datuk Fauzi dari Bank Negara Malaysia dan telah mengarahkan mangsa melaporkan diri kepadanya setiap hari dan menyerahkan kad ATM berserta nombor PIN untuk tujuan siasatan.
Jelasnya, mangsa yang panik telah mengikuti arahan itu dan meletakkan kad ATM CIMB miliknya di atas tembok pagar rumah seperti diarahkan.
“Kad itu kemudian diambil oleh individu tidak dikenali dan mangsa telah diarahkan mengeluarkan semua wang simpanannya di Tabung Haji serta memindahkannya ke akaun bank CIMB miliknya.
“Mangsa juga diarahkan memasukkan sejumlah wang ke dalam dua akaun lain yang diberikan dengan alasan untuk mengelakkan penahanan reman,” ujarnya.
Wanita itu hanya menyedari dirinya ditipu selepas terbaca tentang kes penipuan serupa di laman sosial Facebook dan dia kemudian bertindak membuat laporan polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
Jelas beliau, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya panggilan telefon yang mencurigakan, terutama yang melibatkan tuntutan kewangan atau dakwaan berkaitan siasatan. – MalaysiaGazette