KUALA LUMPUR – Polis memburu seorang lelaki yang cuba merakam bawah kain wanita di sebuah pasar raya di Jenjarom dekat sini baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi, pihaknya menerima laporan kes gangguan seksual daripada seorang mangsa kira-kira pukul 10.36 pagi pada 9 Disember lalu.
Jelas beliau, ketika kejadian wanita itu membeli belah sebelum menyedari dia dirakam seorang lelaki tempatan.
“Mangsa kemudian memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis itu dan mendapati suspek telah mengangkat kain dan cuba merakam ke arah bawah pakaian tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu tular video menunjukkan lelaki berusia 20-an disyaki cuba merakam video dari bawah kainnya.
Video berdurasi 25 saat yang merakam tindakan jijik lelaki yang dipercayai bekerja di pasar raya berkenaan.
Akmalrizal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan orang awam yang mempunyai maklumat insiden supaya menyalurkan informasi kepada pihak polis bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette