KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu suspek dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di kawasan perumahan di Banting baru-baru ini.
Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, pihaknya mengesan hantaran video berkaitan kejadian itu di media sosial semalam dan hasil semakan mendapati laporan dibuat oleh pemilik kenderaan tersebut pada 14 Disember lalu sekitar pukul 12.54 tengah hari.
“Pemiliknya seorang lelaki tempatan menyedari kehilangan kenderaannya selepas mendapati ia tiada di kawasan parkir hadapan rumahnya.
“Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki tidak dikenali, berpakaian jaket gelap turun dari sebuah kenderaan SUV sebelum melarikan Toyota Hilux itu ke arah yang tidak diketahui,” katanya dalam satu kenyataan.
Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Polis sedang giat mengesan individu yang terlibat dan menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-318 72222 atau melaporkan ke balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette