Kumpulan Rabbani telah ditubuhkan pada 1 Mac 1997.

KUALA LUMPUR – Rabbani membuktikan kumpulan nasyid itu masih relevan dalam industri seni negara walaupun lebih 27 tahun ditubuhkan.

Sekalipun Rabbani pernah seolah-olah seperti kehilangan taring selepas kematian penyanyi utamanya, Asri Ibrahim pada 2009 dan suasana genre muzik yang tidak semeriah dahulu, – kumpulan yang terkenal dengan lagu Intifada dan Pergi Tak Kembali ini – masih berjuang dengan cara tersendiri.

Malah setiap kali menjelma Ramadan, kumpulan nasyid ini antara yang tidak pernah ketinggalan menjadi penyeri acara majlis berbuka puasa sekali gus menghibur tetamu dengan alunan lagu nasyid dan ketuhanan.

Terbaru, Rabbani kini menjadi pilihan Radius World Wide Travel & Tour sebagai duta pilihan agensi pelancongan tempatan bagi pakej umrah sepanjang tahun 2025.

Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, penglibatan mereka dalam dunia seni ini ibarat sebagai satu perjuangan yang belum selesai.

Katanya, masih banyak lagi tugas yang belum selesai untuk dilaksanakan dengan cara tersendiri biarpun zaman berubah mengikut arus teknologi.

“Kami bersyukur kerana masih menerima pelbagai tawaran sama ada berkaitan persembahan dan juga perniagaan untuk bekerjasama di mana semua ini rezeki atas kesabaran dan persahabatan Rabbani selama ini.

“Tahun depan selain duta umrah ini, kami juga sudah menerima tawaran untuk membuat persembahan sepanjang Ramadan yang bakal menjelma.

“Semoga semua kolaborasi ini memberi suntikan dan semangat kepada peminat dan orang ramai terutama yang berusaha menunaikan ibadah umrah walaupun sekali dalam hidup mereka dan mengambil peluang menginsafi diri kita sebagai hambanya dan mencari keredanya,” katanya pada majlis sidang media pengumuman duta itu semalam.

Rabbani kini menjadi pilihan Radius World Wide Travel & Tour sebagai duta pilihan agensi pelancongan tempatan bagi pakej umrah sepanjang tahun 2025.

Sementara itu, Pengasas Radius World Wide, Datuk Abd Muin Abd Rahman berkata, pemilihan Rabbani sebagai duta dan rakan syarikat adalah berdasarkan pengalaman luas kumpulan itu melebarkan sayap mereka dalam bidang hiburan.

Kata beliau, ia kerana Rabbani terus kekal dengan pendekatan melalui hiburan dengan mendidik jiwa sehingga mendapat sambutan di dalam dan luar negara juga terhadap percapaian mereka dalam program anugerah yang berprestij.

“Kerjasama strategik ini juga bagi menyantuni tetamu Allah SWT untuk menunaikan umrah bagi sesi 2025 dengan menyantuni peminat dan orang ramai menunaikan ibadah umrah dan ziarah sambil menikmati alunan zikir dan selawat sepanjang perjalanan lawatan dengan lagu lagu sejarah di Mekah dan Madinah,” katanya.

Pada majlis sama, turut dilancarkan pakej istimewa iaitu Pakej Umrah Sambut Ramadan Bersama Rabbani bermula 21 Februani hingga 4 Mac depan.

Pakej selama 12 hari ini itu merangkumi perjalanan umrah ziarah dan jemaah akan merasai tiga hari pertama Ramadan di Madinah iaitu pada tiga hari terakhir keberadaan jemaah umrah sebelum pulang ke Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here