Keputusan kes saman keluarga mendiang J. Soosaimanicckam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menolak saman keluarga mendiang pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J. Soosaimanicckam yang dikemukakan terhadap Majlis Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Menteri Pertahanan dan 13 yang lain berhubung kematiannya.

Soosaimanicckam meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut pada 19 Mei 2018 selepas menjalani latihan di KD Sultan Idris, Lumut.

Hakim Idah Ismail menolak saman itu selepas mendapati keluarga mendiang selaku plaintif gagal membuktikan tuntutannya melalui prinsip imbangan kebarangkalian.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendengar keterangan saksi plaintif dan defendan serta setelah meneliti dokumen dikemukakan dan hujahan bertulis semua pihak.

Peguam Zaid Malek yang mewakili bapa mendiang, S. Joseph memberitahu pihak media, hakim turut memerintahkan plaintif membayar kos RM10,000 kepada defendan dalam keputusan kes saman berkenaan melalui prosiding e-review hari ini.

Zaid turut memaklumkan, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu. Turut mewakili plaintif, peguam Latheefa Koya manakala semua defendan diwakili Peguam Persekutuan, Abdul Hakim Abdul Karim.

Menerusi saman yang difailkan pada 19 Mei 2021, keluarga Soosaimanicckam mendakwa kecuaian berlaku di pihak defendan kerana gagal memberi rawatan kecemasan apabila mangsa rebah pada hari kejadian selain cuai dalam memantau kesejahteraan serta kesihatannya ketika sesi latihan.

Pada 29 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan kematian Soosaimanicckam sebagai kes homisid dan punca kematian mangsa adalah akibat langsung daripada tindakan pegawai TLDM bertanggungjawab bagi latihan kadet yang menafikan rawatan perubatan kepadanya.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner pada 16 Jun tahun lalu yang memutuskan keputusan terbuka berhubung inkues bagi menentukan punca kematiannya pada 19 Mei 2018.

Pada 16 Jun 2023, Koroner Ainul Shahrin Mohamad memutuskan punca kematian Soosaimanicckam semasa menjalani latihan pegawai kadet di KD Sultan Idris pada 19 Mei 2018 adalah disebabkan edema pulmonari.

Ainul Shahrin berkata, laporan menyebut mendiang terbuang air besar ketika mandi sebelum tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Angkatan Tentera Lumut dan disahkan meninggal dunia selepas itu.

Sehari selepas insiden itu, TLDM dalam kenyataan media, memaklumkan Pegawai Kadet Graduan (PKG) itu mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya pada jam 12.20 tengah hari selepas selesai menjalani latihan fizikal yang menjadi rutin harian pelatih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here