PUTRAJAYA – Pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 adalah hak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Thaksin adalah seorang yang bermasalah kerana banyak terpalit dengan kontroversi dan skandal.
Malah beliau berkata, ramai lagi tokoh-tokoh ASEAN yang boleh dilantik selaku penasihat tidak rasmi.
“Saya tak tahulah apa sebabnya dia nak pilih kita banyak orang lain. Thaksin pun ada masalah tak tahulah itu saya tak nak tegurlah mereka itu hak Anwar nak pilih siapa apa,” katanya kepada media.
Dr Mahathir berkata demikian selepas flag off Misi Kemanusiaan Pasca Banjir ke Kedah, dan Perlis di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) hari ini.
Semalam, Anwar berkata, Malaysia memerlukan negarawan sepertinya untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu serantau.
Kes Thaksin Shinawatra merujuk kepada isu politik dan undang-undang yang melibatkan bekas Perdana Menteri Thailand, yang digulingkan melalui rampasan kuasa tentera pada tahun 2006 atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Selepas disabitkan kesalahan pada tahun 2008, Thaksin melarikan diri ke luar negara untuk mengelak hukuman penjara.
Pada Ogos 2023, Thaksin kembali ke Thailand selepas 15 tahun dalam buangan, ditahan, dan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun, namun kemudian menerima pengampunan diraja yang mengurangkan hukumannya kepada setahun.
Kes ini mencetuskan ketegangan politik yang mendalam di Thailand, membahagikan negara kepada penyokong dan penentangnya, dengan partinya terus berpengaruh dalam politik Thailand hingga kini. – MalaysiaGazette