KUALA LUMPUR – Tinggal di bandar besar tidak menjanjikan keselesaan apabila realitinya ada yang berdepan kesempitan hidup hingga menyebabkan tujuh sekeluarga terpaksa berhimpit tinggal menyewa di sebuah bilik kecil di Pandan Indah, Ampang, di sini.
Bilik di atas rumah kedai yang sendat dengan pelbagai barangan keperluan seperti pakaian dan barangan dapur itu didiami Muhammad Danish Haikal Mohd Rizal, 21, dan isterinya, Noor Fatihah Md Isa, 26.
Turut tinggal bersama tiga anak berusia antara tiga bulan hingga lapan tahun termasuk dua anak Noor Fatihah bersama bekas suami selain dua adiknya berusia 13 hingga 16 tahun sejak Jun lalu.
Keadaan bilik itu jelas tidak selesa buat anak-anaknya yang semakin membesar selain penjagaan aurat membabitkan adik ipar yang meningkat remaja selain hubungan suami isteri.
Namun akui Danish yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah memberitahu, dia tiada pilihan kerana disebabkan masalah kewangan mereka terpaksa menjadikan bilik kecil itu sebagai tempat berteduh.
Apatah lagi dengan gaji bersihnya kira-kira RM1,800, dia hanya mampu menyewa bilik berharga RM350 sebulan. Malah dia bersyukur bayaran sewa itu dapat dikurangkan berbanding bayaran sewa standard antara RM500 hingga RM600.
Tinjauan MalaysiaGazette ke bilik sewa itu mendapati terdapat enam bilik lain lagi yang telah dipecahkan untuk disewakan di mana semua penyewa berkongsi satu bilik air dan terdapat ruang masak yang kosong tanpa meja.
Difahamkan terdapat jiran sebelah bilik yang turut dihuni oleh warga asing namun mereka saling tidak mengenali dan membuat hal masing-masing.
Sementara itu, Danish berkata, sebelum ini, mereka bertujuh tinggal di Cheras namun berpindah ke Pandah Indah kerana memerlukan bilik tersebut lebih besar dan luas sedikit.
Namun gara-gara berpindah, anak sulung dan dua adik ipar tidak dapat meneruskan persekolahan kerana jarak jauh untuk berulang-alik ke sekolah di sana.
Ditambah pula, pekerjaan Danish sebagai pengawal keselamatan yang bekerja tanpa cuti dalam seminggu bermula pukul 7.00 pagi hingga 7.00 malam.
“Selalunya saya belanja antara RM20 hingga RM30 sehari tidak termasuk jajan yang diminta anak-anak. Saya akan membeli barangan mentah di kedai berdekatan dan isteri akan memasak menggunakan dapur kecil mudah alih di depan pintu.
“Sepatutnya kami tidak dibenarkan memasak di luar kerana bau masakan akan memberi rasa tidak selesa kepada penyewa lain namun isteri terpaksa memasak di depan pintu juga.
“Bilik air pula memang kami perlu berkongsi dengan penyewa dan terpaksa menunggu giliran untuk menggunakan di mana selalunya isteri dan adik ipar lebih selesa menukar pakaian di bilik air,” katanya yang mengambil cuti pada hari ini dan tiada gaji diperolehi demi sesi temubual ini.
Danish memberitahu, setiap malam mereka akan tidur berhimpit menggunakan dua tilam toto di mana adik ipar lelakinya akan tidur di atas lantai dengan berteman kipas angin bagi menghilangkan bahang kepanasan.
Kata anak sulung daripada enam beradik ini, menjelang hujung bulan, dia akan mula kehabisan wang dan mereka pernah menjamah nasi dengan telur sahaja sebelum meminjam wang dengan ibunya.
Namun tanpa mahu menyalahkan takdir, Danish akan mencari pendapatan tambahan sebagai penghantar makanan pada sebelah malam dengan bayaran sekitar RM40 ke RM50.
Namun dia tidak mampu melakukan setiap malam kerana atas faktor kesihatan yang memerlukan rehat kerana bekerja tanpa cuti selama sebulan.
“Ibu bapa saya dan lima adik saya tinggal di rumah flat di Gombak dan kami tidak mampu tinggal bersama kerana keadaan rumah yang telah padat manakala bapa isteri saya tinggal di Kuala Kubu Bharu bersama tiga adik ipar yang lain.
“Mereka pun ada masalah masing-masing dan saya tidak mahu menambah beban yang ada kerana saya masih lagi boleh bekerja cuma masalah kewangan membuat saya tidak mampu menyedia rumah kepada isteri dan anak-anak seperti keluarga lain yang tinggal secara normal,” katanya yang tidak pernah memohon mana-mana bantuan zakat.
Danish berkata, berdepan harga barang keperluan yang semakin mahal, dia akui sedih kerana sering mengecewakan permintaan anak-anak yang masih kecil dan hanya mampu memujuk agar bersabar sehingga mempunyai wang lebih.
Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Harmoni Dan Prihatin Malaysia (Harmony Prihatin Malaysia), Nor Hashim Abdullah turut hadir menyampaikan bantuan keperluan harian kepada keluarga malang ini.
Bantuan keperluan harian seperti beras, minyak, gula dan bahan makanan lain diserahkan bagi meringankan beban kewangan Danish.
Nor Hashim berjanji akan mencari rumah baharu untuk mereka agar dapat menjalani kehidupan normal seperti keluarga lain.
“Saya mendapat maklumat daripada seorang rakan baik yang juga aktivitis, Mona Din dan terus datang melawat mereka. Apabila melihat keadaan mereka hidup begini, memang tidak boleh terfikir dengan bilik kecil ini dapat tinggal tujuh orang.
“Belum lagi mereka berkongsi satu bilik air dengan penyewa lain dan tidur malam yang berhimpit. Kehidupan mereka sangat menyedihkan dan saya akan mencari rumah baharu untuk mereka untuk berpindah dalam masa terdekat.
“Pada masa sama, tiada manusia seperti Danish yang bekerja selama 12 jam sehari selama sebulan tanpa cuti dan dia memerlukan rehat,” katanya yang memiliki agensi pelancongan umrah.
Noor Hashim menambah, Harmony Prihatin turut melancarkan dana untuk keluarga malang ini bagi mereka meneruskan kelangsungan hidup untuk beberapa bulan selepas berpindah nanti.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyumbang di akaun Maybank 5648 1060 2981 Harmony Prihatin Malaysia (Ref: asnaf). – MalaysiaGazette