Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf pada sidang media mingguan di Menara KPJ, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita berputih mata apabila kerugian lebih RM2 juta selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan love scam selama tujuh tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, akauntan berusia 67 tahun itu pada mulanya berkenalan secara maya dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang memperkenalkan dirinya sebagai ahli perniagaan dalam bidang pembekalan alatan perubatan di Singapura pada Oktober 2017 lalu.

“Selepas sebulan berkenalan, hubungan mereka menjadi semakin rapat dan mula menjalinkan hubungan cinta secara maya. Lelaki tersebut kemudian mendakwa ingin berpindah ke Malaysia namun memerlukan wang untuk kos pengangkutan dan mangsa bersetuju untuk membantu dengan membuat pembayaran berjumlah RM5,000 ke akaun yang diberikan suspek,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ramli memberitahu, suspek kemudiannya terus menagih wang daripada mangsa dengan pelbagai alasan seperti masalah peribadi dan urusan perniagaan.

Beliau berkata, sebanyak 306 transaksi wang ke 50 akaun bank berbeza telah dilakukan mangsa yang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM2,210,692.60 dan sebahagiannya datang daripada hasil pinjaman daripada ahli keluarga dan rakan-rakannya.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu pada November lalu selepas berkongsi cerita tersebut dengan seorang rakan dan laporan polis telah dibuat semalam,” ujarnya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, modus operandi utama sindiket termasuk penggunaan profil palsu, pengakuan cinta, permintaan wang atas pelbagai alasan dan keengganan bertemu secara bersemuka.

Dalam kes berasingan, menurut Ramli, seorang wanita juga telah mengalami kerugian sebanyak hampir RM2.5 juta selepas terperangkap dalam penipuan sindiket yang sama.

Mengulas lanjut, mangsa yang berusia 57 tahun merupakan seorang pekerja swasta yang mula berkenalan dengan seorang lelaki warga England sekitar April lalu melalui Facebook.

“Setelah berinteraksi selama dua minggu, lelaki tersebut mendakwa ingin datang ke Malaysia untuk bertemu mangsa. Bagaimanapun, drama bermula apabila mangsa dihubungi individu yang mengaku sebagai pihak kastam dan mendakwa bahawa mereka telah menahan lelaki itu kerana membawa masuk wang tunai sebanyak RM4,446,000 atau USD 5 juta.

“Bagi membebaskan lelaki itu, mangsa diminta membuat pembayaran untuk mendapatkan sijil pengesahan daripada pelbagai agensi termasuk Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan kedutaan,” katanya.

Menurut beliau, mangsa yang termakan dengan cerita tersebut telah membuat 13 kali pindahan wang ke 13 akaun bank berbeza dan jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan mencecah RM2,479,000.

Difahamkan, mangsa masih diminta untuk membuat bayaran tambahan sebelum menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis pada 28 November lalu.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti dalang sebenar sindiket ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here