KUALA LUMPUR – Isu pembayaran gaji pekerja dan bayaran kerja lebih masa oleh 57 pekerja Bangladesh terhadap syarikat Kawaguchi Manufacturing Sdn. Bhd. masih buntu, kata Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Keputusan masih belum dicapai pada rundingan yang diadakan pada 14 Disember lalu melibatkan JTK, wakil Kedutaan Bangladesh dan pihak syarikat.
JTK berkata, dalam rundingan itu, syarikat telah mengemukakan cadangan bayaran gaji tertunggak kepada pekerja secara ansuran sehingga September 2025 tetapi mendapat bantahan daripada pekerja yang bertegas menuntut agar gaji mereka dibayar sepenuhnya pada hujung tahun ini.
“Perbincangan lanjut akan diadakan pada 17 Disember 2024 berkenaan proses pertukaran dengan majikan baharu yang akan ditentukan kelak di bawah program Pertukaran Majikan Khas (PTM). Program ini melibatkan seramai 204 orang pekerja asing yang mempunyai permit sah.
“JTK akan memastikan isu yang dihadapi oleh para pekerja syarikat ditangani seadilnya dan kebajikan para pekerja ini terbela,” katanya dalam kenyataan di sini.
JTK telah mendapat maklumat mengenai isu pembayaran gaji pekerja, bayaran kerja lebih masa dan juga penginapan yang tidak kondusif oleh 57 pekerja Bangladesh Syarikat Kawaguchi Manufacturing Sdn. Bhd. pada bulan September lalu.
Siasatan yang dijalankan mendapati isu yang diketengahkan adalah berasas dan pekerja terbabit dinasihatkan untuk memfailkan tuntutan kes buruh terhadap syarikat.
Menurutnya, tuntutan kes buruh telah dibuat pada hujung bulan November 2024 terhadap pihak syarikat berjumlah RM806,310.00 dan JTK juga telah membuka lapan kertas siasatan terhadap majikan dan penyedia penginapan atas kesalahan kelewatan membayar gaji, bayaran gaji secara tunai dan penginapan yang tidak mempunyai perakuan daripada JTK. – MalaysiaGazette