KUALA LUMPUR – Seorang warga emas kerugian sebanyak RM704,000 selepas menjadi mangsa skim pelaburan palsu yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, ahli perniagaan berusia 73 tahun itu tertarik selepas melihat iklan pelaburan di aplikasi tersebut yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam masa singkat.
“Skim tersebut dikenali sebagai Saham L-5 Cicc Investment dan mangsa telah membuat 10 transaksi wang ke dalam tiga akaun bank berbeza.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas keuntungan yang dijanjikan tidak diperoleh dan satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan menyemak terlebih dahulu sebarang tawaran pelaburan.
“Orang ramai disarankan mendapatkan maklumat dari sumber rasmi seperti portal Semak Mule CCID, Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” ujarnya. – MalaysiaGazette