KUALA LUMPUR – Young Education Guidance (YEG) Academy memperkenalkan program Sarjana Muda Pengurusan Haji dan Umrah dalam usaha memenuhi permintaan tinggi di negara ini.
Mereka menyasarkan golongan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk melanjutkan pengajian dalam program berkenaan.
Program tersebut merupakan kerjasama dengan Kolej Antarabangsa Inovatif (UIC) di bawah Fakulti Pengajian Antarabangsa akademi tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif YEG Academy, Mohamad Fikri Hasbi berkata, program akan membolehkan para pelajar menjalani pengalaman teori dan praktikal yang relevan agar dapat mengaplikasikan dalam situasi sebenar industri haji dan umrah.
Menurut beliau, program Sarjana Muda Pengurusan Haji dan Umrah telah bermula awal tahun ini membabitkan 84 pelajar di mana pihaknya menyasarkan 1,000 pelajar sepanjang tahun 2025.
“Menerusi program ini, YEG Academy berharap dapat memberikan impak positif kepada perkembangan pendidikan tinggi di Malaysia.
“Kami percaya bahawa program ini akan menjadi contoh terbaik dalam pendidikan tinggi dan akan membantu meningkatkan kualiti tenaga kerja dalam sektor pengurusan haji dan umrah.
“Justeru YEG Academy menyarankan agar bakal pelajar untuk mempertimbangkan bidang-bidang relevan dan inovatif seperti pengurusan haji dan umrah yang memiliki potensi perkembangan karier yang besar dan permintaan industri yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis pelancaran Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Haji Umrah diadakan sempena kempen Melahirkan Tenaga Pakar Profesional Industri Haji Umrah 2025 semalam.
Mohamad Fikri menambah, industri haji dan umrah kini kekurangan tenaga kerja profesional dalam bahagian pengurus atau operasi sesebuah syarikat pengurusan haji dan umrah bukan sahaja di Malaysia tetapi juga luar negara.
Katanya, terdapat lebih daripada 1,600 syarikat agensi di Malaysia yang mempunyai lambakan tenaga kerja peringkat eksekutif tetapi kekurangan pekerja mahir dalam bahagian pengurusan.
“Program ini bakal menghimpunkan beberapa tenaga pakar profesional dalam bidang khusus yang melibatkan industri haji umrah membabitkan syarikat seperti Andalusia Travel dan Transport FGV Global,” katanya.
Sementara itu, pada masa sama, YEG Academy turut memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Penerbangan dan Diploma dalam bidang Penerbangan sempena Kempen 2025 Kickstartyourcareer In Aviation.
Program Sarjana Muda Pengurusan Penerbangan dirangka dengan kerjasama strategik bersama Meatech Training Centre dan IUC bersama pakar industri.
Dengan modul komprehensif yang dirumuskan oleh pakar industri dan akademik, program ini bertujuan untuk melahirkan tenaga profesional yang bukan sahaja mahir dalam teori tetapi juga kompeten dalam aplikasi praktikal.
Sementara itu, penyanyi, pelakon dan pempengaruh terkenal, Zarul Umbrella yang telah dilantik sebagai Felo Aviation di Meatech Training Centre buat tahun ketiga yang menekankan aspek latihan praktikal dalam pembelajaran penerbangan. – MalaysiaGazette