Independent Islamic Preacher Firdaus Wong Wai Hung. sumpah laknat video clip sexual assault
Firdaus Wong Wai Hung.

PUTRAJAYA – Aktivis sosial, S. Shashi Kumar tidak dibenarkan memulakan pendakwaan persendirian terhadap dua pendakwah mualaf atas pertuduhan menghina agama dan amalan orang bukan Islam.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menolak rayuan akhir aktivis berkenaan yang memohon Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dan Firdaus Wong Wan Hung dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan tersebut.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Mohamed Zaini Mazlan sebulat suara berpuas hati kedua-dua rayuan tersebut tiada merit.

S. Shashi Kumar

Koram itu berpendapat keputusan Mahkamah Majistret menolak permohonan Shashi Kumar yang kemudian disahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Februari 2023 adalah tepat dan wajar dikekalkan.

Perayu memohon merujuk kedua-duanya kepada majistret di bawah Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) kerana didakwa mengeluarkan kata-kata yang menyentuh sensitiviti dan keharmonian agama dan kaum lain melalui hantaran-hantaran di media sosial.

Ketika prosiding terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan untuk tidak memulakan pertuduhan terhadap kedua-duanya.

Pendakwaan peribadi ialah situasi undang-undang di mana seseorang individu membuat aduan kepada majistret untuk meminta pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa seseorang individu lain di mahkamah.

Shashi Kumar diwakili peguam S. Ravichandran manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Ahmad Zaidi berkata, kesalahan yang menjadi teras kepada aduan Shashi Kumar adalah berkaitan Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu mencetuskan ketidakharmonian kaum.

Ujar beliau, panel itu bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Mahkamah Majistret tidak terkhilaf ketika menolak permohonan Shashi Kumar.

Menurut Hakim Ahmad Zaidi, pada asasnya, peguam berhujah bahawa majistret melampaui bidang kuasa di bawah Seksyen 133 dengan mengajukan tiga soalan dan selanjutnya meminta pihak-pihak berhujah.

Hujah peguam, Seksyen 133 tidak membenarkan majistret mengajukan soalan dan meminta pihak-pihak berhujah sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap pengadu.

Bagaimanapun, panel itu berpendapat, hujahan peguam tidak meyakinkan mahkamah kerana Seksyen 133 tidak menghalang majistret mengutarakan soalan pada pihak-pihak berkaitan prosiding di hadapan beliau.

Panel itu juga berpendirian Perkara 145(2)(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntuk Peguam Negara mempunyai budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan pendakwaan.

Panel berkenaan berpendapat, setelah meneliti kedua-dua laporan polis terhadap kedua-dua pendakwah itu, kesemua kesalahan yang dikatakan dilakukan adalah dari jenis yang sama dan berkaitan.

“Tiada kesalahan yang berbeza, oleh itu secara munasabahnya, kami simpulkan bahawa tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pendakwa raya bagi keseluruhan kertas siasatan terhadap Muhammad Zamri,” ujar beliau.

Panel itu turut berpuashati, bagi siasatan terhadap Firdaus Wong, pendakwa raya ketika itu telah mengeluarkan arahan supaya pendakwah tersebut disiasat, maka mahkamah dihalang untuk meneruskan pemeriksaan terhadapnya.

“Jika prosiding mahkamah diteruskan terhadap Firdaus Wong (ketika itu), ia akan bersifat pramatang kerana kes masih lagi dalam peringkat siasatan,” ujar panel tersebut.

Media melaporkan pada tahun 2020, beberapa laporan polis dibuat terhadap dua pendakwah mualaf itu. Shashi memfailkan permohonan pendakwaan persendirian di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 8 Januari 2021.

Bagaimanapun, pada 3 September 2021, Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menolak permohonan itu, atas alasan siasatan polis terhadap Firdaus adalah NFA (Tiada Tindakan Lanjut) dan siasatan itu masih diteruskan ketika itu terhadap Zamri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here