KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah menjadi agensi zakat pertama di Malaysia yang mengintegrasikan teknologi moden ke dalam sistem pembayaran zakat.
Pengarah Pengurusan Sharlife, Muhammad Arham Munir Merican Amir Feisal Merican berkata, ia dapat memudahkan generasi muda yang aktif dalam dunia digital untuk melaksanakan tanggungjawab zakat dengan lebih efisien.
“Sistem ini membolehkan bayaran dilakukan terus menggunakan kripto wallet, tanpa perlu menukarkan aset mereka kepada nilai ringgit terlebih dahulu.
“Platform tersebut akan menyaring token kripto pengguna untuk memastikan pematuhan syariah, mengira tempoh pemilikan aset, dan menentukan kadar zakat sebanyak 2.5 peratus sebelum transaksi dibuat,” katanya.
Beliau sebagai wakil ejen yang dilantik menguruskan bayaran zakat aset digital berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Saluran Bayaran Zakat Aset Digital di Wisma PPZ hari ini.
“Sistem ini menerima pelbagai jenis kripto yang berasaskan blockchain seperti Solana dan Ethereum. Untuk mengatasi isu ketidakstabilan harga kripto pula, pembayar diminta menukar kripto mereka kepada stablecoin seperti USDT (USD Tether) sebelum pembayaran.
“Ini bagi memastikan nilai zakat terjamin dan sampai kepada asnaf dengan jumlah yang maksimum dan proses lebih bayaran lebih telus dan mudah,” tambahnya.
Arham turut berharap pendekatan itu dapat menarik lebih ramai generasi muda untuk melibatkan diri secara aktif dalam amalan zakat, selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa. – MalaysiaGazette